Followers

Monday, October 12, 2015

Susulan tindakan terpuji Bank Negara, PENANTIAN KINI PADA SPRM Oleh Shahbudin Husin


Susulan tindakan terpuji Bank Negara, PENANTIAN KINI PADA SPRMWalaupun hanya seorang wanita, Gabenor Bank Negara, Dr Zeti Akhtar Aziz nyata seorang yang berani dan tidak mudah mengalah. 

Di sebaliknya wajahnya yang lembut dan sering tersenyum, ketegasannya tetap menyerlah.

Bank Negara yang dipimpinnya bukan saja melengkapkan penyiasatan yang teliti, malah membuat syor kepada Peguam Negara agar pendakwaan jenayah diambil terhadap 1MDB atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 kerana memberi maklumat tidak lengkap atau tidak tepat berhubung pelaburannya di luar negara.

Kali pertama syornya telah ditolak oleh Peguam Negara dan Bank Negara kemudian membuat rayuan agar penolakan itu dikaji semula.

Tetapi ia juga ditolak oleh Peguam Negara atas alasan tiada bukti baru yang dikemukakan.

Atas nama tanggungjawab dan yakin pelanggaran undang-undang telah dilakukan oleh 1MDB, di samping barangkali "putus harapan" dengan jalan pendakwaan melalui Peguam Negara, Bank Negara lantas mengambil langkah drastik membatalkan tiga kebenarannya sebelum ini kepada syarikat pelaburan itu untuk pelaburannya di luar negara yang berjumlah AS$1.83 bilion atau kira-kira RM7,500 juta mengikut nilai pertukaran semasa.

Serentak dengannya, Bank Negara juga mengarahkan jumlah pelaburan itu segera dibawa balik dan mahukan 1MDB mengemukakan pelan baru berkaitan dengannya.

rr

Dengan tindakan tersebut, bermakna Dr Zeti telah mematuhi beberapa titah Majlis Raja-Raja berkaitan 1MDB yang antaranya:-

- semua pihak harus beri kerjasama sebenar dan jujur.

- penemuan siasatan hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus.

- badan-badan penguatkuasa dan institusi kawal selia hendaklah menyempurnakan amanah Allah dan kepercayaan rakyat secara telus.

- kepentingan rakyat dan negara mesti mengatasi kepentingan peribadi.

Namun, sebagaimana yang diumumkan sebelum ini, Bank Negara hanyalah salah satu daripada empat agensi yang sedang menyiasat 1MDB. 

Tiga lagi ialah PDRM, SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Daripada ketiga-tiga agensi tersebut, yang paling ditunggu ialah hasil penyiasatan SPRM terhadap SRC International, sebuah syarikat milik 1MDB tetapi kemudian dipindahkan kepada Kementerian Kewangan kerana didakwa menyumbangkan dana berjumlah RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib sebagaimana yang didedahkan oleh The Wall Street Journal.

Hasil penyiasatan SPRM tentu saja amat dinanti-nanti kerana semasa menjalankan tugasnya - pejabat mereka telah digeledah, pegawai ditukar, dokumen dirampas dan beberapa kacau ganggu yang lain telah berlaku.Ia kemudian mendorong SPRM mengadakan solat hajat khas memohon perlindungan Tuhan dengan harapan mereka sentiasa diberi kekuatan dan perlindungan dalam menegakkan kebenaran.

Kita faham antara masalah SPRM untuk melengkapkan penyiasatan ialah untuk mendapatkan keterangan dua saksi yang dipercayai menghilangkan diri dan bersembunyi di luar negara iaitu bekas Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Arif Kamil serta bekas Pengarahnya, Suboh Md Yassin.

ss

Dalam hal ini SPRM harus menggunakan segala kekuatan serta rantaian yang ada padanya untuk menjejaki dua saksi tersebut dan penyiasatan tidak seharusnya tergantung begini saja untuk tempoh yang lebih lama. 

Jika terlalu lama tanpa jawapan, harapan rakyat turut pudar bersamanya dan boleh menjejaskan kepercayaan rakyat sendiri terhadap SPRM.

Setelah Bank Negara menunjukkan keberaniannya, hasil siasatan SPRM adalah sandaran rakyat yang amat ditunggu-tunggu dalam perjuangan menegakkan kebenaran yang seterusnya berkaitan 1MDB. -BlogSpot


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.