Followers

Sunday, October 18, 2015

Sokongan terhadap Najib merudum dengan teruknya..


Satu tinjauan bebas mendapati terlalu ramai pengundi Malaysia menolak kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika ini, dengan bilangan orang Melayu yang tidak berpuas hati juga semakin meningkat, lapor Singapore Straits Times hari ini.

Menurut tinjauan kebangsaan yang dijalankan Merdeka Center pada Ogos itu, hanya 31% pengundi Melayu menyokong Putrajaya, satu penurunan besar daripada 52% yang direkodkan pada Januari.

Tahap penerimaan kebangsaan ketika tinjauan Ogos adalah pada 23%, turun daripada 38% pada Januari. Masyarakat Cina juga melahirkan rasa tidak puas hati, mencatatkan hanya 5% penerimaan terhadap pentadbiran Najib, berbanding 11% pada Januari.


Kajian itu dijalankan beberapa minggu selepas rombakan Kabinet pada hujung Julai, apabila Najib menggugurkan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang lagi menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.

 

Menurut akhbar Singapura itu, keputusan kaji selidik itu dibentangkan Merdeka Center kepada penganalisis sektor kewangan minggu lepas. 

Badan bebas itu berkata, ia juga menunjukkan majoriti tinggi juga kecewa dengan cara kerajaan menangani ekonomi dengan hanya 17% menyatakan persetujuan mereka.

Kira-kira 78% tidak berpuas hati dengan kerajaan berhubung keadaan ekonomi. Ini disebabkan terutamanya oleh isu-isu seperti kos sara hidup, pengangguran dan kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang berkuat kuasa pada April.


Prestasi ringgit juga menjadi faktor penyumbang, sebagai mata wang paling teruk di Asia tahun ini. Kajian Merdeka Center itu secara konsisten sebelum ini menunjukkan rakyat Malaysia lebih mengambil berat isu kos sara hidup, pekerjaan dan perumahan berbanding politik.


Perdana menteri berdepan gesaan yang semakin memuncak supaya beliau meletak jawatan berhubung skandal kewangan yang dikaitkan dengan firma pelaburan milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang mengumpulkan RM42 bilion hutang sejak ia mula beroperasi pada 2009.


Pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) yang sejumlah RM2.6 bilion, yang didakwa dikaitkan dengan 1MDB, dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib pada Mac 2013 meningkatkan serangan terhadap beliau, dengan pengkritik utama merupakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kemudiannya mengumumkan yang wang tersebut adalah sumbangan daripada individu di Timur Tengah. 


Perdana menteri juga menafikan menggunakan wang awam, termasuk dari 1MDB, untuk kepentingan peribadi, walaupun timbul persoalan mengenai sumber dan tujuan dana itu lapor The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.