Followers

Sunday, October 11, 2015

PKR Gali Kubur Sendiri Jika Terus Harapkan PAS...

Apa lagi yang PKR harapkan daripada PAS? – Faiz Fadzil

Pembentukan Pakatan Harapan pada 22 September 2015 antara parti pembangkang Amanah, PKR dan DAP adalah satu rahmat kepada rakyat Malaysia.

Agenda Barisan Nasional untuk melenyapkan permuafakatan pembangkang ternyata gagal walaupun Pakatan Rakyat terkubur setelah PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Sejarah menunjukkan BN boleh dijatuhkan dengan gabungan parti-parti pembangkang.



Sejarah juga menunjukkan parti-parti pembangkang kalah teruk dalam pilihan raya setelah gabungan berpecah. Inilah senjata yang paling digeruni BN. PAS secara 'sub-conscious' sanggup membiarkan dirinya dijadikan ejen kepada agenda BN untuk memecahkan PR.

PKR seharusnya terus istiqamah mengukuhkan PH dan bukannya terus mendambakan kerjasama dengan PAS. PAS sekarang yang bersifat takfiri seolah-olah mereka sahaja yang benar, sudah pasti tidak akan menganggap mana-mana pihak sebagai rakan. Bagi mereka, siapa sahaja yang tidak bersetuju dengan mereka, adalah musuh walaupun hakikatnya, kezaliman adalah musuh utama. Sedangkan, Allah mencegah kita daripada cenderung kepada kezaliman (surah Hud:113).

Namun, PAS sekarang bukan sahaja gagal melihat kezaliman sebagai musuh, bahkan sanggup membela kezaliman atas alasan demokrasi.

Dalam keadaan rakyat dihimpit dengan tekanan ekonomi akibat GST dan kenaikan kos sara hidup serta amalan rasuah dan salahguna kuasa pemimpin kerajaan terutama perdana menteri, PAS tidak menyokong usul undi tidak percaya di Parlimen terhadap perdana menteri. Tindakan ini seharusnya dijadikan kayu pengukur, PAS mempunyai agenda perjuangan yang berbeza dengan rakyat dan PH. Malahan, agenda perjuangan PAS juga sekarang kabur umpama jerebu.

PAS kini yang dipimpin presiden yang sama mempunyai sejarah mengkhianati PKR. Watikah pencalonan PAS di dalam 5 kerusi yang ditandingi PKR ditandatangani beliau sendiri. Pengkhianatan terus dilakukan apabila beliau menolak persetujuan yang dicapai PR untuk mencalonkan Datin Seri Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor.

Pengkhianatan terbesar dilakukan apabila beliau menolak untuk mengarahkan ahli PAS hadir ke Mahkamah Persekutuan untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat 2 walaupun menyedari Anwar difitnah dan dizalimi. Jelas, PAS cukup istiqamah mengkhianati rakan dan perjuangan.

PKR perlu mematuhi pesanan Rasulullah S.A.W., umat Islam dilarang untuk dipatuk ular dalam lubang yang sama dua kali.

Bersediakah PKR untuk dikhianati lagi PAS. Apakah jaminan PAS akan komited untuk mengelak pertandingan 3 penjuru di kerusi yang ditandingi PKR? Adakah PAS bersetuju untuk menerima Anwar sebagai calon perdana menteri walaupun sedar mereka tidak mampu mencadangkan calon yang setanding Anwar? Adakah PAS akan menjunjung persetujuan untuk berpegang kepada dasar bersama yang akan dirangka?

Mengukuhkah PH adalah pilihan terbaik dan efisyen berbanding asyik mengajak PAS untuk bersama PH sedangkan PAS menolaknya.

Sedarlah yang mempertahankan PR dahulu adalah pimpinan Parti Amanah Negara sekarang. PAS mampu menabur pasir ke dalam periuk nasi dan kesannya PH akan dihukum rakyat jika ia berlaku menjelang pilihan raya umum kelak jika PAS bertindak di luar dasar bersama atau bertindak bertentangan dengan perjanjian yang dibuat.

Masa untuk rakyat menghadapi PRU ke 14 semakin hampir. Sekarang adalah masa untuk PH mengukuhkan perpaduan di antara semua parti koalisi ini di semua peringkat. Sekarang adalah masa untuk PH menyiapkan dasar bersama. Logo yang satu bagi PH hendaklah dirangka segera bagi mendapat kelulusan segera daripada ROS.

Jangan biarkan virus kemarahan rakyat kepada PAS berjangkit kepada PKR. Jikalau PH rapuh, BN akan terus berkuasa, rakyat akan terus merana kerana ditipu lagi.

Usahlah yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Membujur lalu melintang patah, menjatuhkan BN memerlukan pasukan PH yang kukuh, kuat dan berdaya saing.

PAS akan terus istiqamah dengan pengkhianatan, jadi apa lagi yang PKR harapkan?


Siapa pilihan PKR, Pakatan Harapan atau PAS? Oleh Amin Iskandar

PKR akan mengadakan mesyuarat khas hari ini disebabkan petisyen 25 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang mahu penubuhan Pakatan Harapan dibincangkan semula.

Dua puluh lima ahli MPP ini tidak berpuas hati mengapa presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail “tergesa-gesa” mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan baru-baru ini sedangkan sepatutnya ianya hanyalah perbincangan awal.

Kumpulan 25 pemimpin PKR ini juga mahu PAS dilibatkan dalam Pakatan Harapan walaupun parti Islam itu sebelum ini melalui presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan tidak akan bersama gabungan baharu itu kerana adanya DAP dan “pengkhianat” Parti Amanah Negara (Amanah).

Selain itu, kumpulan 25 pemimpin ini mahukan mesyuarat MPP hari ini meluluskan cadangan agar dibentuk satu pakatan lain dengan PAS di samping mengekalkan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini, sekurang-kurangnya 7 daripada 25 pemimpin ini sudah menghubungi Dr Wan Azizah bagi memohon maaf di atas tindakan mereka menandatangani petisyen yang dilihat sebagai “undi tidak percaya” kepada presiden PKR itu.

Difahamkan, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor pada Rabu, pemimpin akar umbi parti itu digambarkan seolah-olah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak bersetuju dengan penubuhan Pakatan Harapan.

Selain itu, pemimpin akar umbi PKR diberitahu, parti itu tidak boleh “hidup” pada PRU14 tanpa sokongan PAS selain DAP “dibelasah hebat” dalam mesyuarat itu.

Sementara kumpulan yang menyokong Dr Wan Azizah pula percaya kerjasama PKR bersama Pakatan Harapan akan membawa kejayaan lebih besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ini kerana kebanyakan kerusi dimenangi PKR adalah kerusi campuran dan bukannya kerusi majoriti Melayu yang sudah menjadi kubu kuat Umno.

Menurut kumpulan ini, PAS sendiri kalah di kerusi majoriti Melayu dan hanya kuat di negeri pantai timur yang sememangnya merupakan kubu mereka.
Kumpulan ini juga tidak pernah memaafkan pengkhianatan PAS dalam PRU13 lalu sehingga menyebabkan pertembungan 3 penjuru di beberapa kerusi seperti di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Sabah.

Mereka juga tidak memaafkan PAS kerana tidak mengiktiraf Anwar sebagai calon perdana menteri semasa PRU 13 selain tindakan Hadi memperlekehkan Dr Wan Azizah semasa kemelut menteri besar Selangor tidak lama dulu.

Amanah dan DAP bergerak sendiri?

Ketika PKR bertelagah tentang Pakatan Harapan, sudah terdapat perbincangan di antara pemimpin Amanah dan DAP untuk bergerak sendiri dalam PRU14.

Mereka merasakan, kumpulan “pro PAS” dalam PKR hanya melambat-lambatkan usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan melakukan perubahan di Malaysia.

Seorang pemimpin tertinggi Amanah yang ditemui penulis berkata, jika PKR masih mahukan PAS, partinya dan DAP sudah bersedia untuk bergerak sendirian.

Pemimpin kanan Amanah itu berhujah, PKR sebenarnya akan rugi lebih besar jika memilih PAS dan ini boleh dilihat dalam keputusan PRU 2004.

Pada 2004, selepas DAP meninggalkan Barisan Alternatif, PKR hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu di Permatang Pauh dan PAS hanya tinggal 7 kerusi.

Sementara DAP yang bergerak bersendirian berjaya memenangi 12 kerusi Parlimen.
Menurut pemimpin Amanah itu, kebanyakan kerusi dimenangi PKR pada PRU 12 dan 13 merupakan kerusi campuran dan beliau tidak faham mengapa kumpulan “pro PAS” dalam parti itu beriya-iya mahu mempertahankan PAS dengan hujah takut kehilangan undi Melayu.

Katanya, PAS sendiri mendapat banyak kerusi semasa PRU 12 dan 13 disebabkan kerjasama politik yang mereka jalankan dengan parti lain dan bukan kerana batang tubuh mereka sendiri.


Siapa pilihan PKR petang ini? Pakatan Harapan atau PAS? Sudah tentu PKR tidak boleh dapat kesemuanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.