Followers

Saturday, October 3, 2015

MUHYIDDIN: Daripada 'mati kering', lebih terhormat 'MATI MELAWAN' Oleh Shahbudin Husin


MUHYIDDIN: Daripada 'mati kering', lebih terhormat 'MATI MELAWAN'Walaupun sudah menyatakan kesetiaan kepada parti dan sedia bersama-sama membantu UMNO untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum akan datang, petanda bahawa Timbalan Presiden, Muhyiddin Yassin terus dikecil dan dipencilkan nyata semakin ketara.

Kedudukan sebagai orang nombor dalam UMNO nampaknya semakin tidak bernilai apa-apa kepada Muhyiddin sejak disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, 28 Julai lalu.

Jika sebelum mesyuarat MT UMNO pada 9 September lalu, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin yang biasanya dipengerusikan oleh Muhyiddin telah digantikan dengan mesyuarat khas Biro Politik yang dikendalikan oleh Najib, kini pemencilan itu berterusan lagi.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini melalui pendedahan sepucuk surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor, mesyuarat Pusat Penyelarasan dan Operasi 

Pilihanraya (GCOC) Ahad ini yang sepatutnya dipengerusikan oleh Muhyiddin telah digantikan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Terlihat bahawa meskipun tidak diambil apa-apa tindakan susulan penyingkiran sebagai Timbalan Perdana Menteri, Najib seperti secara perlahan-lahan cuba mengikis kuasa atau amalan biasa peranan yang dimainkan oleh Muhyiddin dalam kapasitinya yang berjawatan timbalan presiden dalam UMNO.

Trend ini memperlihatkan tidak mustahil sebelum mesyuarat MT UMNO bulan ini sekali lagi mesyuarat khas biro politik akan turut bersidang untuk mengambil alih peranan Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin UMNO.

Jika ia berterusan terjadi sehingga pemilihan seterusnya pada 2018, bermakna Muhyiddin hadir mesyuarat bulanan MT UMNO dalam tempoh kira-kira tiga tahun akan datang hanya dengan "goyang kaki" dan boleh bercakap dalam perkara hal-hal lain saja.

Juga tidak mustahil dalam Perhimpunan Agung UMNO bulan Disember nanti, Muhyiddin mungkin turut dikecualikan daripada merasmikan Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri yang biasanya merupakan tugas penting seorang pemimpin nombor dua untuk menyampaikan amanatnya.

Jalan mungkin sedang dicari sama ada perhimpunan itu akan dirasmikan oleh Zahid Hamidi atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri atau paling tidak ia hanya dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing.
Jangan terperanjat juga kiranya dalam penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO tahun ini, 

Muhyiddin tidak disenaraikan untuk menyampaikan ucapannya.Sudah tentu, kiranya ia berjaya dilakukan mulai tahun ini, perkara yang sama akan berterusan lagi dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun-tahun seterusnya.


dd

Sekiranya ada pilihanraya kecil pula dalam waktu terdekat ini, Muhyiddin juga pasti akan diketepikan daripada mengetuainya kerana UMNO mungkin berpendapat ia lebih sesuai diketuai oleh Zahid bagi memudahkannya mengumumkan bantuan, peruntukan atau projek-projek bagi pihak kerajaan kepada pengundi.

Dah selepas itu, jika ada lain-lain peranan, Muhyiddin juga pasti akan diabaikan oleh UMNO kerana Najib terlihat kekal tidak meyakini serta mempercayainya lagi setelah memecatnya daripada jawatan kerajaan sebelum ini.

Secara perlahan-lahan, meskipun berjawatan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin akan dijadikan "mati kering" tanpa apa-apa tugas, peranan serta tangggungjawab diberikan kepadanya.

Berdasarkan budaya "cash is king" pula, tidak mungkin banyak cawangan dan bahagian UMNO sedia meraikan Muhyiddin lantaran "gula" yang sudah tiada lagi padanya.

Dalam hal ini, Muhyiddin tidak ada pilihan lain selain perlu terus bersuara dan memunculkan dirinya di pelbagai program bagi memastikan beliau tidak dilupakan begitu saja.

Dalam pelbagai isu yang terus timbul silih berganti sekarang, Muhyiddin tidak boleh diam saja atau selalu sangat bercuti ke luar negara lagi. Setelah kehilangan jawatan, ia bukan lagi masa untuk bercuti selalu.

Jika percaya dengan perjuangan Tun Mahathir untuk menegakkan kebenaran, menyelamatkan negara dan mengelakkan UMNO daripada kekalahan, janganlah segan-segan untuk selalu bersama dengan bekas Perdana Menteri itu dalam pelbagai program yang dihadirinya.

Janganlah dibiarkan hanya Tun Mahathir yang sudah melebihi usia 90 tahun lebih gigih menyelamatkan UMNO dan negara ini.Lagi pula, bukankah beliau disingkirkan daripada jawatan kerajaannya kerana keberanian bersuara dan ingin menegakkan kebenaran yang tidak disenangi oleh Najib?

Lalu, kenapa setelah hilang jawatan kerajaan perlu berdiam diri pula?Jika lebih suka berdiam diri, bukankah lebih baik daripada awal lagi sokong dan setuju saja semua perkara yang dilakukan oleh Najib dan sudah tentu jawatan kerajaan akan kekal sehingga hari ini?

Muhyiddin juga perlu berani bersuara jika ada sebarang percubaan oleh Najib untuk menanggalkan kuasa atau amalan lazim yang biasa dimainkan oleh pemegang jawatan nombor dua dalam UMNO, walaupun ia didapati tidak sehaluan dengan nombor satu.Semua itu bukan dilakukannya untuk kepentingan dirinya, tetapi demi masa depan dan kelangsungan UMNO itu sendiri.

Andainya digantung jawatan atau dipecat keahlian sekali pun selepas ini kerana berterusan lantang bersuara menegakkan hak serta memperjuangkan kebenaran, beliau sekurang-kurangnya akan dikenang sebagai pejuang kerana "mati dalam keadaan melawan".

Jika memilih berdiam diri, bersedialah untuk dilupakan dan kemudian secara perlahan-lahan akan "mati kekeringan" begitu saja.-Blogspot


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.