Followers

Thursday, October 1, 2015

Kisah Hidup Bekas Menteri Terlampau


Posting di laman Facebook bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang mendakwa Raja Muda Selangor memeluk agama Kristian adalah bersifat menghasut, kata Dewan Diraja Selangor hari ini.

Walaupun Rahim berulang kali memohon maaf kepada istana kerana perbuatannya yang melanggar tatasusila itu, Setiausaha Dewan Hanafisah Jais berkata, dakwaan tidak bertanggungjawab itu mengandungi unsur fitnah.

"Setelah membaca kandungan kenyataan yang dikeluarkan Rahim, Dewan Diraja Selangor berpendapat dan merumuskan kenyataan tersebut berbaur hasutan dan mempunyai unsur­unsur fitnah yang boleh membangkitkan perasaan benci umat Islam kepada Raja Muda dan Sultan Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rahim menerusi akaun Twitter dan Facebook beliau pada 25 September lalu mendakwa Sultan Selangor bakal bertemu ketua agama Katolik dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bakal menukar agama kepada Katolik.

Beliau bagaimanapun menarik balik kenyataan itu yang menurutnya datang daripada laman web yang tidak disahkan kesahihannya.

Beliau juga memohon maaf sebanyak 3 kali sejak menarik balik kenyataan itu dengan permohonan maaf terkini dibuat semalam.

"Kenyataan beliau yang menyatakan Sultan Selangor akan bertemu Pope di Vatican City jelas merupakan pembohongan dan fitnah dan tidak seharusnya dikeluarkan beliau yang merupakan bekas ketua menteri dan timbalan menteri.

"Kenyataan beliau ini juga perlu dibanteras bagi mengelakkan umat Islam daripada terus mempercayai dan menyebarkan pembohongan dan fitnah ini yang boleh mengakibatkan mereka tergelincir menjadi golongan fasik," kata Hanafisah dalam kenyataan itu.

Rahim dalam kenyataannya memetik World Daily News Report, sebuah laman web satira, yang mendakwa Tengku Amir memeluk agama Katolik.

Beliau kemudian merakamkan kesedihannya berkenaan perkara itu yang menurutnya berlaku serentak ketika umat Islam yang menunaikan sedang haji terlibat dalam tragedi kematian di Mekah dan Arafah.

Menurut Hanafisah, ketua polis negara sendiri sudah mengesahkan berita itu palsu sejak ia mula viral tahun lepas lagi.

"Dewan Diraja melahirkan kekesalan kerana Rahim tiada langsung mengambil sebarang langkah menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang posting yang dibuat portal-­portal luar sebelum memberi pendapat dan komen beliau.

"Adalah amat mudah bagi beliau untuk membuat semakan bagi menentukan kebenaran berita berkenaan sekiranya beliau mempunyai sifat tanggungjawab," kata Hanafisah lagi.

Jelasnya lagi, Raja Muda Selangor kini menjalani latihan ketenteraan di United Kingdom dan akan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila pulang ke tanah air.

"Dewan Diraja Selangor ingin memaklumkan Raja Muda ketika ini menjalani latihan pegawai kadet di Akademi Tentera di-­Raja Sandhurst, United Kingdom.

"Sekembalinya baginda ke negara, baginda akan ditauliahkan dalam perkhidmatan ATM," katanya.

"Dewan Diraja Selangor menyeru agar Rahim memberhentikan dengan serta-­merta segala tindak ­tanduknya menyebarkan berita palsu dan pembohongan ini," kenyataan Hanafisah dipetik.

Terdahulu, Hanafisah dan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamed Munir Bani dilaporkan membuat laporan polis berhubung kenyataan Rahim itu.
 
 
 
ADDIN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.