Susulan misi antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah) ke Doha, Qatar
dan Istanbul, Turki minggu lalu, satu pertentangan pendapat timbul
berhubung kewujudan 2 parti Islam di negara ini berdasarkan pandangan
ulama besar Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, pengerusi Kesatuan
Ulama Sedunia itu menolak kewujudan 2 parti berorientasikan Islam di
Malaysia.
Katanya, penubuhan Amanah adalah haram kerana ia ditubuhkan selepas adanya parti Islam lain iaitu PAS.
"Yusuf menyatakan haram menubuhkan parti baharu kerana PAS sudah ada. Pendapatnya ini turut ditulis setiausahanya," kata Hadi ketika memberikan ucapan di Tumpat, Kelantan pada Ahad malam.
Hadi yang juga naib pengerusi kesatuan itu berkata, reaksi itu dibuat
tokoh ulama terkenal tersebut ketika menerima kunjungan rombongan dari
Malaysia baru-baru ini.
Bagaimanapun kenyataan Hadi yang sedang disebarkan penyokongnya melalui
media sosial itu dinafikan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub
dalam satu kenyataannya semalam.
Salahuddin berkata, Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof baru
saja berjumpa Yusuf di Doha pada 17 Oktober, ketika dalam perjalanan
pulang dari Istanbul, dan tidak berbangkit langsung perkara itu.
"Dalam pertemuan itu tidak disebut langsung tentang haramnya wujud sebuah parti Islam lain selain PAS.
"Bahkan kami berbincang perkara prinsip tentang kejelasan fikrah Islam,
kerana bimbang terjerumus kepada pemikiran awal Isis (Negara Islam Iraq
dan Syria) atau seumpamanya.
"Lalu Yusuf menyokong usaha untuk membetulkan salah faham ini di
kalangan pengamal politik Islam," kata Salahuddin yang baru pulang
daripada misi itu, yang bertujuan memperkenalkan Amanah di peringkat
antarabangsa, khususnya kepada gerakan Islam.
Misi itu berlangsung dari 13 hingga 18 Oktober dengan delegasi Amanah
turut disertai Timbalan Penasihat Umum Abd Ghani Shamsuddin, yang juga
ahli pemegang amanah kesatuan ulama dunia itu, dan Bendahari Amanah
Asmuni Awi.
Dalam misi itu, mereka turut bertemu dengan setiausaha agung kesatuan
ulama itu, Prof Dr Ali Alqaradaghi di Doha pada 13 Oktober.
"Perbincangan antara Amanah dan Ali berlangsung dalam keadaan mesra dan penuh dengan semangat ukhuwah.
"Langkah awal ini sangat penting untuk Amanah terus maju ke depan mendepani cabaran diplomatik antarabangsa," kata Salahuddin.
Bagaimanapun, pemerhati politik melihat kenyataan Hadi itu bercanggah dengan pandangan Yusuf sendiri yang sebelum ini pernah menyatakan hukumnya tidak sebegitu.
Menurut Yusuf dalam kitabnya, fatwa mendakwa kumpulannya saja yang Islam
dan kumpulan ditubuhkan selepasnya terbubar merupakan pintu kejahatan
dan merosakkan agama.
Sebelum ini, ketika para pemimpin Amanah masih berada dalam PAS, Hadi dalam satu ucapannya di Batu Pahat, Johor meminta mereka meninggalkan PAS.
"Jika mahu jadi imam juga, cari tanah sendiri, buat masjid sendiri dan
jadi imam sendiri," katanya ketika membuat ucapan penggulungan di
muktamar tahunan PAS tahun lepas.
ADDIN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.