Followers

Saturday, October 10, 2015

Gerakan veteran Umno bakal cetus gelombang Oleh Mohd Azhar Abd Rahman


Satu demi satu personaliti Umno yang menyinar karier politik mereka satu masa dahlu bangkit bersuara lanjutan daripada serangan bertubi-tubi Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak terutamanya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma 2.6 bilion.

Nama-nama yang pada anggapan ramai sudah boleh disemadikan dalam “Muzium Umno” tidak semena-mena muncul membawa keris masing-masing menghunus ke arah Najib atas kelemahan beliau menguruskan hal ehwal pentadbiran dalam negara.

Bermula dengan Dr Mahathir, rakan sekutunya, Tan Sri Sanusi Junid turut menyatakan desakan sama meminta Najib berundur.Sebelum itu, Tan Sri Zainudin Maidin turut membuat desakan yang sama apabila melihat Najib seakan-akan tidak menghiraukan gesaan bekas perdana menteri Dr Mahathir.

Tan Sri Rafidah Aziz, yang satu ketika dahulu turut pernah dikritik Dr Mahathir juga bersuara mengkritik cara Najib menguruskan ekonomi negara yang kian tenat.Tidak ketinggalan, Tun Daim Zainudin apabila beliau menyatakan keraguannya terhadap sokongan Umno kepada Najib pada ketika ini.

Tan Sri Sabbaruddin Chik juga antara veteran Umno yang pernah memegang jawatan setiausaha agung menyokong tindakan Dr Mahathir yang mahu Najib meninggalkan kerusi perdana menteri bagi memperbaiki keadaan yang semakin meruncing.Dipercayai ramai lagi yang akan mengikut jejak langkah mereka kerana Umno dikatakan boleh ranap seandainya Najib terus berada di takhta.

Kesemua bekas pemimpin Umno ini merupakan penggerak parti dan menteri Kabinet satu masa dahulu dan mereka juga tahu ruang-ruang yang ada dalam kerajaan untuk merompak. Atas sebab itu mereka melihat “rompakan” yang dibuat Najib ternyata begitu melampau sehingga memberi kesan kepada keadaan ekonomi negara.

Mungkin kerana sudah dimamah usia, kesedaran kepada mencegah kemungkaran mula timbul dalam kehidupan mereka.Tidak mustahil, dengan kemunculan tokoh-tokoh veteran Umno ini, satu gelombang besar akan melanda Umno dengan gerakan yang dilihat semakin membesar. 
 
Najib yang masih mengharapkan Kabinetnya bertahan dengan serangan dari luar dan dalam dilihat semakin hilang upaya.

Terbaru gesaan Majlis Raja-raja Melayu yang mahu isu 1MDB diselesaikan secepat mungkin memberi mesej yang sangat jelas apa yang diperkatakan ramai pihak sebelum ini berasas.

Lalu timbul pula kalimah “derhaka” seandainya tindakan tidak dibuat mengikut saranan majlis itu mengikut tafsiran Datuk A Kadir Jasin.Benar-benar menghimpit. Itulah keadaan Najib ketika ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang pada awal pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri dilihat gagah, sejak akhir-akhir ini juga kian hilang arah untuk mempertahankan bosnya itu.

Dalam suasana ketika ini, tidak mustahil, seandainya kesemua pengkritik yang memegang status veteran Umno ini bersepakat membawa suara dan pandangan mereka secara bersama dan mengenepikan cerita lama, meletakkan gesaan Majlis Raja-raja sebagai asas kebersamaaan, tsunami besar dalam Umno akan berlaku.

Sekiranya tsunami ini berlaku dalam masa terdekat, Umno kembali berpeluang menyusun kekuatan untuk berdepan dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Jika tidak, bersedialah untuk mengambil alih peranan sebagai pembangkang di Parlimen.-TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.