Followers

Tuesday, October 13, 2015

Ancaman Syi'ah Di Kedah: Mahasiswi Mahu Mati Dalam Syiah, Murid Diajar Tidak Solat Jumaat

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Azatizah Kebangsaan (PASAK), Ustaz Muhammad Khalil Munawwar

ALOR SETAR - Ancaman dari golongan yang berfahaman Syi'ah di negeri Kedah didakwa semakin membimbangkan di mana penularan secara tersembunyi dikatakan berlaku di pelbagai peringkat di seluruh negeri berkenaan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Azatizah Kebangsaan (PASAK), Ustaz Muhammad Khalil Munawwar berkata, penyebaran secara senyap-senyap itu menyusup masuk ke institusi-institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah-sekolah dan masyarakat awam.

"Saya dapati ancaman Syiah di negeri Kedah ini semakin hari semakin membimbangkan.

"Kita dapat kesan mereka masuk melalui sekolah-sekolah, IPT dan melibatkan orang awam yang jahil tentang apa itu Syi'ah," katanya ketika ditemubual secara eksklusif oleh Kedahnews.com.

Beliau yang aktif dalam pertubuhan anti-Syiah kebangsaan dan negeri Kedah itu mendedahkan tentang salah satu kes yang beliau alami sendiri di mana seorang mahasiswi dari sebuah universiti awam di Kedah yang telah menganut fahaman Syi'ah yang difatwakan sesat itu.

Katanya, mahasisiwi berkenaan telah menganut fahaman tersebut setelah terpengaruh dengan pensyarah di universiti berkenaan dan enggan kembali kepada fahaman Sunnah wal Jama'ah walau dipujuk beliau beberapa kali.

"Kita ada juga jumpa pelajar IPT yang sampai mengaku tak mau keluar dari Syiah, mahu mati dalam fahaman Syi'ah, tak mahu mati dalam Sunni," dedah Ustaz Khalil tentang keadaan sebenar ancaman fahaman Syi'ah dalam penyebaran dakyah mereka di Kedah.

Dalam satu kes berasingan, beliau turut pernah terserempak dengan beberapa pelajar IPT yang tanpa rasa bersalah telah mengutuk sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang dijamin syurga, Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab dan Saidina Uthman Ibnu Affan, sebaliknya mendewa-dewakan Saidina Ali bin Abi Thalib.

Dalam satu lagi kes, Ustaz Khalil mendedahkan tentang kejadian yang berlaku di sebuah sekolah rendah di mana seorang ustazah dikatakan telah mengajar murid lelaki bahawa mereka tidak perlu melakukan solat Jumaat.

"Kita ada tangkap seorang murid ni, dia beritahu dalam satu kem solat yang dibuat di sekolahnya, ustazahnya beritahu tak perlu solat Jumaat," katanya menjelaskan salah satu dakyah yang cuba disebarkan oleh golongan Syi'ah di Kedah.

Kata Ustaz Khalil, beliau tidak menolak bahawa fahaman Syi'ah walau disebar secara tersembunyi di Kedah dan umumnya di Malaysia, fahaman songsang itu telah berjaya mengikat pengaruh lebih 500,000 orang umat Islam di Malaysia.

Malah kata beliau, berdasarkan ketua tertinggi Syiah Malaysia yang berpengkalan di Pendang, dianggarkan fahaman tersebut telah berjaya memesongkan aqidah ribuan umat Islam di negeri berkenaan.

Justeru itu katanya, selaku pejuang fahaman Sunnah Wal Jama'ah yang dipelopori dari Asya'riah dan Matrudiah, PASAK akan terus berjuang mencegah pemesongan aqidah umat Islam di Kedah walau sering diancam pihak tertentu dalam dakwah mereka.

"Pada pandangan saya, Syi'ah bukan Islam. Mereka tidak boleh dianggap Islam sama sekali dan perlu disekat dari terus memesongkan akidah umat Islam di Kedah.

"Kami akan terus berjuang," tegas Ustaz Khalil. - Kedahnews.com.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.