Followers

Wednesday, September 23, 2015

SEMUA SEGMEN MASYARAKAT JANGAN BERHENTI MENEKAN NAJIB


Satu lagi episod memalukan yang tidak pernah terbayang dek fikiran sesiapa menimpa rakyat Malaysia semata-mata kerana berperdana-menterikan seorang pemimpin bernama Najib Razak.

Kali ini sebuah unit khas di Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang menyiasat mengenai rasuah antarabangsa akan melakukan penyiasatan terhadap Najib berhubung pembelian hartanah di negara itu oleh anak tirinya,

Riza Aziz dan ahli perniagaan yang rapat dengannya iaitu Jho Low. Sebagaimana yang didedahkan oleh New York Times (NYT), siasatan berkaitan rasuah itu dilakukan kerana semua pembelian itu dilakukan melalui sebuah "syarikat bayangan" atau "syarikat kosong." Antara pembelian hartanah yang disiasat itu ialah:-

1. Sebuah penthouse bernilai AS$30.55 di Time Warner di Manhattan.

2. Rumah di Hollywood bernilai AS$39 juta, Hotel L'Ermitage di Beverly Hills dan sebahagian Hotel Park Lane, New York.

3. Sebuah kondominium bernilai AS$33.5 juta di Laurel Park, Manhattan di samping hartanah lain di Los Angelas.

4. Sebuah kondominium berharga AS$4.5 juta yang dibeli atas nama "syarikat bayangan" atau "syarikat kosong",

Cricklewood One Madison LLC yang pembeliannya ditandatangani oleh bekas eksekutif 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.

Keseluruhan hartanah yang sedang disiasat itu dianggarkan bernilai lebih AS$150 juta. NYT juga melaporkan, unit khas di Jabatan Kehakiman itu turut menyiasat pengaliran wang AS$681 juta yang merupakan sebahagian daripada jumlah RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib kerana pemindahannya dilakukan melalui sebuah bank Amerika Syarikat,

Wells Fargo. Dengan turut disiasat oleh FBI dan Jabatan Peguam Negara Switzerland, Najib kini sekurang-kurangnya sedang menghadapi tiga penyiasatan di peringkat antarabangsa. Itu belum termasuk lagi pihak berkuasa di London,

Perancis, Hong Kong dan Singapura yang mungkin turut melakukan penyiasatan berikutan adanya laporan dikemukakan kepada mereka.



Mana kita mahu letak muka sebagai rakyat Malaysia bila ke luar negara selepas ini?

Tidak pernah mana-mana pemimpin kita sebelum ini menghadapi pertuduhan sebegitu rupa sehingga ramai yang hairan bertanya, Najib tidak pernahkah rasa malu dengan apa yang menimpa dirinya?

Bagaimana beliau selepas ini mahu berhadapan dengan masyarakat antarabangsa serta bertentang mata dengan pemimpin dunia yang lain?

Yang lebih memalukan, sudahlah penyiasatan itu berkaitan dengan rasuah dan penggubahan wang haram, ia juga memperlihatkan kerakusan dalam pemilikan harta beratus juta yang diragui sumbernya.

Kesian dengan orang-orang kampung dan makcik Felda yang sekadar didendangkan dengan BR1M bernilai RM500 tetapi keluarga pemimpin pula dikaitkan dengan pemilikan harta beratus juta di luar negara.

Siasatan demi siasatan yang menunggu Najib ini seharusnya menyedarkan semua segmen dalam masyarakat agar terus meningkatkan tekanan untuk memaksa Najib berundur daripada jawatannya.

Soal Najib mahu berundur atau tidak adalah soal kedua, tapi tekanan perlu dilakukan semaksima mungkin. Kita tidak boleh lagi berketuakan beliau. UMNO akan kalah serta musnah manakala negara pula akan terus terjerumus ke lembah kesengsraan jika Najib sebagai ketua kerajaan tidak segera ditukar.

Jemaah surau pun mungkin ramai tidak begitu khusyuk sembahyangnya kerana fikiran asyik melayang terbayangkan hal-hal berkaitan Perdana Menteri yang cukup "istimewa" ini. Yang lebih penting, dengan berjaya menyingkirkan Najib,

ia akan memberi isyarat yang jelas kepada mana-mana pemimpin selepas ini untuk berfikir banyak kali sebelum mahu melakukan kecurangan atas nama jawatan yang mereka disandang.

Akhirnya ini tentu akan membawa lebih kebaikan kepada rakyat dan negara pada masa depan. Siapa pengganti Najib adalah soal kedua ketika ini, yang penting penyingkirannya mesti dilakukan terlebih dahulu. (Saya akan menulis dalam bab lain kemudian mengenai siapa yang patut mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas Najib berjaya disingkirkan)

Adalah memalukan jika pihak luar negara seperti FBI dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dilihat lebih bersungguh-sungguh untuk membantu menyelamatkan negara kita dan mendakwa pemimpin yang disyaki melakukan kesalahan sedangkan kita sendiri hanya berpeluh tubuh begitu saja. Ayuh, bangkitlah kita semua!!

Kini adalah masa untuk setiap daripada kita mesti bangkit bersama-sama untuk menyelamatkan negara dan demi masa depan anak cucu yang lebih bahagia.

Posted & copy by RAKYAT MARHAEN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.