Followers

Wednesday, September 23, 2015

BR1M beri isyarat tidak baik kepada Malaysia


MUAR - Peningkatan kadar bantuan dan pertambahan bilangan penerima BR1M setiap tahun adalah isyarat tidak baik kepada Malaysia.

Senario itu jelas menunjukkan negara ini tidak makmur.

Adun Maharani, Dr Mohamad Taslim berkata, situasi itu mendedahkan bahawa negara ini mempunyai ramai penduduk miskin, sedangkan sebelum ini kerajaan bersungguh-sungguh mahu membasmi kemiskinan.

“Apa maknanya jika penerima BR1M bertambah? Apa tujuan sebenar bantuan ini diwujudkan, adakah benar-benar mahu bantu rakyat atau ada agenda tersembunyi? Saya lihat BR1M pertama dilaksanakan pada 2012 adalah lebih kepada memancing undi.

“Sehingga kini, ia (BR1M) diteruskan dan lebih menarik kerajaan telah mengumumkan kadar bantuan itu akan dinaikkan mulai tahun hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa kadar BR1M akan dinaikkan mulai tahun hadapan dan perkara itu akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2016, Oktober ini.

Mohamad berkata, BR1M telah membebankan kerajaan sehingga terpaksa mengambil langkah seperti mengurangkan dan rasionalisasi subsidi serta pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kononnya manfaat itu dipulangkan semula kepada rakyat menerusi bantuan tersebut.

“BR1M tidak bantu rakyat secara keseluruhannya dan kerajaan perlu mengenalpasti identiti pemohon dengan betul untuk memastikan mereka yang benar-benar berkelayakan dan memerlukan terpilih menerima bantuan.

“Contohnya, ibu tunggal warga emas yang ada anak ramai, dia tak layak dapat bantuan kerana ada anak yang boleh tanggung makan, minum dan keperluannya,” katanya.

Beliau berpendapat, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sepatutnya diberikan keutamaan sebagai penerima BR1M kerana mereka tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk sara hidup.

Jelasnya, penerima bantuan JKM dan Baitulmal bergantung hidup semenuhnya dengan bantuan RM300 dan RM150 sebulan dan tiada sumber pendapatan lain. “Dengan wang ini jugalah mereka bayar sewa rumah dan beli sedikit keperluan harian.

“Kekurangan ini telah menghambat mereka hidup dalam tekanan kemiskinan. Malangnya, ada segelintir penerima BR1M tidak memanfaatkan bantuan dan wang tersebut digunakan membeli barang kehendak berbanding keperluan,” katanya.

Selain itu katanya, pemohon juga perlu bersikap jujur dengan memberikan maklumat diri dengan betul ketika mengisi borang permohonan. Jangan ambil kesempatan hingga tutup peluang orang lain yang lebih memerlukan.


KedahLanie

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.