Followers

Monday, September 14, 2015

Perhimpunan Baju Merah 16 September Sah.. DBKL Beri Kebenaran



Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran kepada penganjur untuk menjalankan perhimpunan aman 'Himpunan Rakyat Bersatu' di Padang Merbok yang dijangka berlangsung, Rabu ini.

"Saya hanya beri kebenaran untuk menggunakan Padang Merbok untuk berhimpun, itu sahaja, dan sila berhimpun dengan aman," kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, surat kebenaran itu telah dikeluarkan oleh DBKL hari ini, dan beliau berharap agar pihak penganjur akan berhimpun dengan aman dan elakkan daripada melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.




 

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menasihatkan agar mana-mana pihak yang ingin menyertai perhimpunan supaya mematuhi segala peraturan yang ada.

Beliau, yang juga setiausaha agung Umno, berkata ekoran DBKL telah memberi kebenaran untuk menggunakan lokasi Padang Merbok mengadakan perhimpunan itu, ia diharap agar jalan raya di sekitar ibu negara tidak diusik oleh mana-mana pihak.

Tengku Adnan berkata sekiranya syarat dan peraturan diingkari, perhimpunan itu menjadi haram dan kelulusan akan dibatalkan serta-merta.

"Kalau anggota Umno nak pergi, pergilahh... tapi mesti kena ikut undang-undang walau dia anggota Umno, dia mesti kena ikut dan patuh pada undang-undang tersebut," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran dan sesi pengundian Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) Residensi RazakMas di ibunegara hari ini.

Perhimpunan Rakyat Bersatu diketuai oleh Pesaka bersama 250 NGO lain yang diadakan sebagai membantah penganjuran himpunan BERSIH 4 baru-baru ini.

- Bernama



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.