Followers

Tuesday, September 8, 2015

Pas Terengganu sedia bergerak sendirian pada PRU14 Tidak tolak tanding semua kerusi


KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu tidak menolak untuk bertanding di semua kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, jika terdapat usaha mengetepikan Pas khususnya dalam pakatan yang wujud ketika ini.
 
Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat menggambarkan, pihaknya seolah-olah bersedia menghadapi kemungkinan itu bersendirian, apatah lagi melalui desas-desus penubuhan PR 2.0 yang dikatakan akan meminggirkan penyertaan Pas.

PR 2.0 yang akan menggantikan PR dikatakan dianggotai PKR, DAP dan Parti Pekerja Malaysia.

“Pas Terengganu tanpa ada rasa ragu-ragu, jika ada keputusan selain daripada itu (memutuskan hubungan dengan Pas), Pas Terengganu bersedia bila-bila masa untuk bertanding di lapan kawasan dan 32 Dun.

“Sebelum itu, Pas pernah bersendirian dan mempunyai kekuatan di Terengganu sebagai antara negeri kuat Pas yang pernah dua kali diberi kepercayaan memerintah.

Kita bila-bila masa boleh menawarkan calon berkaliber yang berkemampuan untuk menjadi alternatif kepada Umno dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Pas Terengganu di Markaz Tarbiyah Pas Kuala Terengganu, Kuala Ibai, di sini.

Bagaimanapun, kata Satiful Bahri, buat masa ini, hubungan kerjasama politik dengan PKR masih berjalan sebagaimana biasa.

Mengulas mengenai PKR yang seolah-olah memberi sokongan kepada Parti Pekerja Malaysia melalui kehadiran sepentas bersama pemimpin dari parti tersebut, beliau berkata, pihaknya tidak akan masuk campur dalam hal itu. 
 
Katanya, selagi hubungan sedia ada masih kekal, kedua-dua pihak saling hormati antara satu sama lain.

Menurutnya, apa yang penting, Pas tidak pernah mempunyai apa-apa kaitan dengan Umno dan BN, termasuk isu kerajaan perpaduan yang masih dikaitkan dengan parti itu.

“Pas tetap terus menjadi alternatif dan sebagai pengganti kepada Umno BN dalam PRU akan datang,” katanya.


Posted & copy by RAKYAT MARHAEN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.