Followers

Monday, September 14, 2015

Nik Abduh Kesal PKR Terima MP Tumpat


Pemuda PAS menyuara rasa terkilan terhadap PKR kerana menerima penyertaan Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar ke dalam parti itu kelmarin.

Ketua Pemuda Nik Abduh Nik Aziz berkata, sebagai rakan yang pernah berada dalam Pakatan Rakyat, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Ini kerana, katanya, terdapat polisi untuk tidak menerima ahli parti lain dalam gabungan itu demi menjaga hubungan sesama parti.

Malah, Nik Abduh berkata, walaupun sebelum ini terdapat kes wakil rakyat parti lain dari Pakatan ingin memasuki PAS, namun perkara tersebut tidak berlaku atas dasar menghormati parti lain.

"Dalam isu ini kita lahirkan rasa terkilan dengan rakan kita (PKR) yang menerima (ahli PAS) lompat parti.

"Kita (PAS) masih kekal dengan polisi menghormati hubungan. Harap tak berlaku lagilah," katanya.

Nik Abduh yang juga MP Pasir Mas berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Pada Jumaat lalu, Kamaruddin dan mantan menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengumumkan penyertaan dalam PKR.

Penyertaan mereka turut dialu-alukan oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas berhubung tindakan bekas wakil rakyat DAP Perak Sum Cheok Leng yang menyertai PAS, Nik Abduh berkata, ia dibolehkan memandangkan DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS terlebih dahulu.

"Mereka yang putuskan hubungan dengan kita. Kita terima dia (Sum) selepas putusnya hubunhan dengan DAP," katanya lagi.

Sementara itu Bernama melaporkan Nik Abduh berkata Kamaruddin mungkin mempunyai pandangan tersendiri mengapa beliau menyertai PKR dan tidak melompat ke Parti Amanah Rakyat namun yang pasti Kamaruddin tidak terlepas daripada sumpah bai'ah yang ditanggung semua wakil rakyat PAS.

"Wakil rakyat PAS yang telah melompat parti tetap akan menanggung bebanan yang sama dalam sumpah bai'ah yang telah dilafazkan," katanya.

Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh berkata parti itu sedia menerima keahlian mana-mana anggota DAP yang ingin menyertai PAS kerana hubungan kedua-dua parti itu telah putus.

"Kalau ada ahli DAP yang mahu menyertai PAS kita (ucap) 'ahlan wasahlan' (selamat datang). Baru-baru ini juga ada kes di mana bekas naib pengerusi I DAP Kedah, Syed Araniri Syed Ahmad, menyertai PAS dan kita terima beliau selepas kita putus hubungan dengan DAP," katanya.

- mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.