Followers

Wednesday, September 16, 2015

Muhyiddin: Guna saluran betul perjuang maruah Melayu

Sambutan Hari Malaysia wajar dizahirkan dengan acara-acara yang melambangkan kesepaduan rakyat dan kecintaan kita yang tidak berbelah bahagi kepada ibu pertiwi, kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Janganlah pula Hari Malaysia disambut dengan perarakan atau perhimpunan yang boleh ditafsirkan sebagai berbaur perkauman walau apapun motif di sebaliknya," kata beliau yang juga timbalan pengerusi BN dalam perutusan Hari Malaysia.

Pastinya, tegas beliau, perhimpunan yang dijadualkan pada 16 September telah mengundang pelbagai persepsi negatif masyarakat baik dari sudut objektifnya mahupun cara penganjurannya.

"Jika benar hendak memperjuangkan maruah Melayu, maka nasihat saya gunalah saluran yang betul iaitu melalui parti Umno yang menerajui kerajaan, bukan dengan cara membangkitkan sentimen perkauman.

"Saya secara peribadi ingin menasihatkan pihak-pihak yang berkenaan supaya mengambil langkah yang bijaksana dalam memutuskan penganjuran apa-apa perhimpunan atau perarakan pada Hari Malaysia.

"Ini penting supaya sambutan Hari Malaysia tidak dicemari dengan peristiwa yang boleh menimbulkan perasaan persengketaan dan permusuhan antara kaum.

"Dalam kita menghormati hak individu untuk berhimpun, harus diingat isu yang juga tidak kurang penting ialah kesejahteraan dan keharmonian antara kaum serta keselamatan negara.

"Sempena sambutan Hari Malaysia ke-52, marilah kita bersama-sama berdoa agar Malaysia sentiasa dilimpahi dengan nikmat perpaduan, keamanan dan kemakmuran yang berkekalan," tambahnya.

Berikut adalah perutusan penuh Hari Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin:

Malaysia telah mencapai 52 tahun penubuhannya. Sepanjang tempoh ini, negara kita telah menempa pelbagai kejayaan dan mengharungi pelbagai cabaran.

Sebagai sebuah negara bangsa, kita telah berusaha untuk memupuk integrasi nasional antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, membasmi kemiskinan, memacu pertumbuhan ekonomi yang mapan, mewujudkan kestabilan politik, memelihara keharmonian kaum dan mengekalkan keamanan negara.

Berkat persefahaman yang dipupuk dalam kalangan masyarakat majmuk, kita telah menangani masalah perbezaan kaum, bahasa, agama dan wilayah untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu padu, bebas, aman dan berdaulat.

Walaupun seringkali berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk sentimen kewilayahan yang ada ketikanya dieksploitasi oleh segelintir pihak untuk menangguk di air yang keruh, cabaran ini berjaya kita atasi dan sehingga kini Malaysia terus berdiri megah sebagai negara yang berdaulat.

Saya menghargai hakikat bahawa keseimbangan pembangunan antara wilayah dan hubungan yang baik antara kerajaan persekutuan dan negeri adalah penting untuk memelihara keutuhan negara kita. Tidak boleh ada mana-mana wilayah yang tertinggal dari segi pembangunan ekonomi, pendidikan, sosial, budaya dan lain-lain.

Ini termasuk pembangunan di Sabah dan Sarawak. Kita sedar bahawa kedudukan geografi negeri Sabah dan Sarawak yang luas dengan keadaan muka bumi yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang, usaha untuk membangunkan Sabah dan Sarawak memerlukan sumber kewangan, tenaga dan kepakaran yang besar. Bukan setakat itu sahaja, setiap keperluan bagi projek pembangunan di negeri Sabah dan Sarawak perlu diputuskan dengan segera dan dipantau dengan rapi oleh pegawai-pegawai di kedua-dua negeri berkenaan.

Oleh sebab itu, saya berpandangan adalah wajar bagi kerajaan persekutuan menurunkan sebahagian kuasa untuk melulus dan memantau projek-projek pembangunan yang kritikal di Sabah dan Sarawak kepada ketua-ketua jabatan kerajaan di kedua-dua negeri ini. Saya percaya penurunan kuasa ini akan mempercepatkan proses kelulusan projek-projek pembangunan yang kritikal dan meningkatkan keberkesanan pemantauan projek. Pada masa yang sama, jabatan-jabatan ini juga perlu diberikan sokongan dari segi sumber dan kepakaran untuk meningkatkan kecekapan.

Saya menyokong sebarang usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak demi untuk memajukan kedua-dua negeri ini dan menyejahterakan rakyat. Saya berharap agar kerajaan terus memberikan keutamaan kepada pembangunan di kedua-dua negeri ini agar jurang antara wilayah dapat kita rapatkan dan dengan itu semangat dan roh integrasi nasional akan menjadi lebih bermakna.

Kita juga berbangga dengan taraf pendidikan dan sosio-ekonomi rakyat Malaysia yang semakin meningkat. Ditambah dengan kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi menjadikan rakyat negara kita lebih bersikap terbuka dalam menerima maklumat dan peka terhadap isu-isu semasa.

Mereka menginginkan pembangunan yang lebih mapan, peluang pekerjaan dengan pendapatan yang lebih tinggi, peluang untuk memiliki rumah sendiri yang lebih selesa, kos sara hidup yang munasabah, kualiti pendidikan yang lebih baik dan perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap.

Lebih penting lagi, rakyat mengharapkan kepimpinan kerajaan yang berintegriti, jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat dan negara. Mereka mahukan kerajaan ditadbir secara telus dan baik. Dalam menghadapi persaingan dunia yang semakin kompetitif hari ini, tadbirurus kerajaan yang baik (good governance) merupakan kunci kepada kejayaan Malaysia yang seterusnya.

Negara kita mempunyai sumber kekayaan yang banyak, baik dari segi sumber asli, hasil percukaian mahupun bakat rakyatnya, namun jika sumber kekayaan negara tidak diurus dengan cekap dan baik, oleh sebab berlaku penyelewangan, ketirisan dan pecah amanah, maka kepercayaan rakyat, komuniti perniagaan serta pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap negara kita akan terhakis dan daya saing negara akan terjejas.

Malaysia tentunya akan menghadapi lebih banyak cabaran pada masa hadapan disebabkan persaingan dunia yang semakin sengit. Keupayaan mengekalkan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan bergantung kepada sejauhmana negara kita dapat ditadbir secara cekap dan amanah dan mengekalkan daya saing untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

Semua ini menuntut kerajaan supaya bersikap lebih responsif terhadap tuntutan dan harapan rakyat dalam mentadbir negara dan mengurus ekonomi. Tingkatkan integriti dalam pentadbiran dan ambil langkah-langkah bijaksana untuk mengatasi permasalahan rakyat.

Saya percaya jika negara kita ditadbir dengan cekap dan amanah, maka Malaysia akan kembali berada pada landasan yang betul untuk mencapai wawasan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dan bersatu padu. Ini adalah tanggungjawab dan amanah besar yang dipikul oleh kerajaan. Rakyat pula bertanggungjawab untuk menumpahkan taat dan setia kepada negara serta sentiasa memelihara keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Sehubungan itu, sambutan Hari Malaysia wajar dizahirkan dengan acara-acara yang melambangkan kesepaduan rakyat dan kecintaan kita yang tidak berbelah bahagi kepada ibu pertiwi. Janganlah pula Hari Malaysia disambut dengan perarakan atau perhimpunan yang boleh ditafsirkan sebagai berbaur perkauman walau apapun motif di sebaliknya.

Pastinya perhimpunan yang dijadualkan pada 16 September ini telah mengundang pelbagai persepsi negatif masyarakat baik dari sudut objektifnya mahupun cara penganjurannya. Jika benar hendak memperjuangkan maruah Melayu, maka nasihat saya gunalah saluran yang betul iaitu melalui parti Umno yang menerajui kerajaan, bukan dengan cara membangkitkan sentimen perkauman.

Saya secara peribadi ingin menasihatkan pihak-pihak yang berkenaan supaya mengambil langkah yang bijaksana dalam memutuskan penganjuran apa-apa perhimpunan atau perarakan pada Hari Malaysia. Ini penting supaya sambutan Hari Malaysia tidak dicemari dengan peristiwa yang boleh menimbulkan perasaan persengketaan dan permusuhan antara kaum.

Dalam kita menghormati hak individu untuk berhimpun, harus diingat isu yang juga tidak kurang penting ialah kesejahteraan dan keharmonian antara kaum serta keselamatan negara.

Sempena sambutan Hari Malaysia ke-52, marilah kita bersama-sama berdoa agar Malaysia sentiasa dilimpahi dengan nikmat perpaduan, keamanan dan kemakmuran yang berkekalan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.