Followers

Monday, September 14, 2015

Ketua AMK Jawab Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh: "Kenapa Nak Takut?"


Kalau yakin dengan PAS kenapa nak takut, Nik Nazmi jawab Nik Abduh

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berpendapat tiada sebarang kesalahan sekiranya mana-mana pemimpin PAS ingin menyertai parti itu kerana sebelum ini turut berlaku perkara sama membabitkan kedua-dua parti itu.

Nik Nazmi berkata, Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz juga tidak perlu berasa takut dengan penyertaan pemimpin mereka ke dalam PKR sekiranya yakin dengan pertubuhan mereka.



"Ada beberapa ahli PKR yang sertai PAS, tiada masalah...kalau kita yakin dengan pertubuhan kita buat apa kita nak takut," katanya, kepada pemberita selepas berucap merasmikan penutup Kongres Mahasiswa Kebangsaan di Ampang Jaya, Selangor hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu berkata, PAS juga pernah menerima ahli mereka ketika parti itu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (PKN), Mohd Anuar Mohd Tahir.

Anuar kini merupakan setiausaha agung Parti Amanah Negara (Amanah).

Nik Nazmi turut mengambil contoh bekas bendahari PKR, Abdul Rahman Othman yang meninggalkan parti itu dan memohon menjadi ahli PAS kawasan Subang Jaya, pada 2007.

"Kalau atas dasar orang itu bersetuju dengan perjuangan parti apa salahnya," katanya.

PAS hari ini menyatakan rasa kecewa dengan tindakan PKR yang menerima penyertaan bekas setiausaha agung mereka Datuk Kamaruddin Jaafar.

Nik Abduh berkata, parti Islam itu selalu berpegang dengan pendirian tidak akan menerima mana-mana wakil rakyat atau pemimpin daripada sekutu mereka.

"Sikap PAS dalam Pakatan Rakyat, kita tidak akan terima mana-mana ahli pemimpin atau wakil rakyat yang daripada rakan politik (yang ingin lompat parti) masuk dalam PAS.

"Ada kes sebelum ini, tapi kita tangguh kemasukan demi menjaga hubungan dalam PR," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur hari ini

Kamaruddin Jaffar yang merupakan ahli Parlimen Tumpat dan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib pada Jumaat mengumumkan penyertaan mereka ke dalam PKR. -TMI



Pemuda Pas terkilan PKR terima Kamaruddin

KUALA LUMPUR - Pas melahirkan rasa terkilan terhadap tindakan PKR menerima kemasukan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar ke dalam parti berkenaan.

Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sewaktu berada dalam PR, Pas mewujudkan satu polisi kesepakatan untuk tidak menerima ahli dan wakil rakyat dari mana-mana parti dalam PR.

"Ada juga beberapa kes dalam rekod kita di mana kita tangguhkan kemasukan ahli dan wakil rakyat dari parti rakan PR kerana kita mahu menjaga hubungan dalam PR.

"Bagi saya menjaga hubungan itu lebih baik. Dalam isu ini kita lahirkan rasa terkilan dengan rakan kita (PKR) yang menerima wakil rakyat dari parti sahabatnya sendiri," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung Pas Pusat, hari ini.

Katanya, sehingga sekarang, Pas masih mengekalkan polisi berkenaan sebagai menghormati rakan dalam PR.

"Saya yakin tidak akan berlaku rakan dari parti dalam PR lompat ke dalam parti kita (Pas) selama mana kita berada dalam PR," katanya.

Menurut Nik Mohamad Abduh, Kamaruddin masih terikat dengan bai'ah seperti mana wakil rakyat lain di Kelantan.

"Beliau menanggung beban dia dengan bai'ah menggunakan sumpah nama ALLAH,"
katanya.


Ditanya penerimaan Pas terhadap bekas wakil rakyat DAP, Sum Cheok Leng, Nik Mohamad Abduh berkata, pihaknya menerima bekas wakil rakyat berkenaan selepas DAP memutuskan hubungan dengan Pas.

"Apa yang membezakan situasi ahli dan wakil rakyat PKR dengan DAP lompat parti ini adalah rasa hormat. Adapun DAP pula berbeza kerana rasa hilangnya rasa hormat dan ia berlaku selepas DAP putuskan hubungan," katanya. -SH


ULASAN GB

Nik Abduh masih bercakap mengenai baiah, sedangkan Setiausaha Agung PAS sendiri telah menyatakan PAS telah menutup isu baiah dan tidak mempersoalkan lagi wakil rakyat yang melompat ke parti lain.


Serahkan kepada Allah isu baiah. Sudah banyak kali didebatkan dan sudah ramai ulama membincangkan. Ada pro dan kontra, ertinya ia termasuk hal khilafiah.

Tak perlu diungkit lagi. Ia akan lebih banyak memaparkan sisi hodoh PAS sendiri. Sesunguhnya Dia Maha Tahu.




Kelab Greenboc


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.