Followers

Thursday, September 10, 2015

Isu masih TIDAK selesai meskipun tiada kekecohan di mesyuarat Umno


Zar Ali's photo.

Tiada yang digugurkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang amat dinanti-nantikan semalam, yang berlangsung dalam suasana “baik dan teratur”, tetapi ada yang terfikir berapa lama kedamaian itu akan kekal terutama apabila isu yang menjadi punca perpecahan dalam parti masih belum diselesaikan.

Ia adalah mesyuarat pertama sejak rombakan Kabinet pada Julai yang memecahkan Umno apabila orang nombor 2 parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal, digugurkan daripada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Pemecatan tidak berlaku seperti spekulasi yang tersebar, dan pemimpin parti berusaha sebaik mungkin untuk menekankan, MT termasuk Muhyiddin dan Shafie, kini berada di belakang presiden mereka.

Ada cakap-cakap menjelang mesyuarat itu, yang sebelum ini ditangguhkan 2 kali, individu seperti Muhyiddin dan Shafie akan dipecat, sama ada dengan menggugurkan mereka secara langsung atau diminta dengan sopan meletak jawatan.

“Itu yang diperkatakan 24 jam sebelum mesyuarat,” kata seorang sumber parti sambil menambah, rancangannya sudah diatur.

Muhyiddin lantang melahirkan kekecewaannya kerana disingkir daripada Kabinet Najib dan beliau bercakap mengenainya secara terbuka dalam beberapa ucapan sepanjang bulan lalu ketika menghadiri mesyuarat tahunan bahagian parti di seluruh negara.

Ahli Parlimen Pagoh itu mengambil pendekatan berbeza dengan presidennya, yang juga perdana menteri, mengenai bagaimana mengendalikan krisis 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Beliau turut mempersoalkan derma RM2.6 bilion yang diterima Najib.

Demikian itu, 2 sebab utama beliau hilang jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan. Beberapa individu dalam parti mendesak beliau dipecat daripada jawatan dalam Umno selepas beliau terus-terusan bercakap mengenai isu berkenaan secara terbuka.

Tersebar juga spekulasi 6 lagi pemimpin Umno akan “dipancung”.

Tetapi tidak ada seorang pun dalam mesyuarat semalam membentangkan usul membuang sesiapa.

“Tidak ada perbincangan mengenai pemecatan atau ambil tindakan terhadap sesiapa. Semuanya baik dan teratur,” kata ahli MT Datuk Seri Abdul Aziz Kaprawi ketika ditemui selepas mesyuarat itu.


Bagaimanapun, sumber berkata, mesyuarat itu ada berbincang mengenai kesan buruk di kalangan masyarakat akibat isu derma RM2.6 bilion itu tetapi Najib kemudiannya memberitahu wartawan, parti tidak perlu mendedahkan butiran mengenai pembiayaan politik.

Ini di sebalik hakikatnya minggu lalu, beberapa penggiat anti rasuah terkemuka dunia berkata Najib perlu berbuat demikian jika Malaysia mahu dianggap serius memerangi rasuah.

Perbincangan mengenai perpecahan ahli Umno selepas rombakan Kabinet juga tidak dibincangkan, begitu juga keadaan di beberapa bahagian yang secara terbuka mengecam Najib atau Muhyiddin.

“MT tidak menerima usul seumpama itu,” kata seorang lagi Ahli MT Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin juga mengetepikan usul berkenaan, mengatakan ia hanya dilakukan satu atau dua bahagian dan tidak mewakili majoriti ahli Umno.

Tetapi penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan berkata, perbezaan pendapat antara Muhyiddin dan Najib, derma dan perselisihan dalam Umno, tidak akan hilang begitu saja hanya kerana ia tidak dibincangkan.

“Tidak mengejutkan apabila Najib tidak memecat Muhyiddin, tetapi ramai yang terfikir berapa lama anda boleh diamkan sesuatu masalah. Walaupun jika mereka bersama sekarang, isu ini masih tetap tidak selesai. Ia adalah strategi untuk mengelakkan krisis dalam parti,” katanya. –TMI


Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.