BAU - Suami kepada pegawai penguatkuasa trafik cawangan Trafik IPD Kluang, Inspektor Margaret Tagum Goen yang maut dirempuh Mat Rempit pagi semalam percaya ia akibat balas dendam.
  
Margaret, 32, dirempuh ketika Ops Roda/Rempit di Kilometer 58 Jalan Batu Pahat-Mersing, Johor, pada jam 2.40 pagi.
  
Leon Bahak, 37, ketika ditemui Bernama di rumah keluarga isterinya di Kampung Bogag, Jalan Srikin dekat sini hari ini mengesyaki ada unsur balas dendam oleh kumpulan Mat Rempit berkenaan.
  
Katanya, beliau ada membaca seseorang pengguna facebok memuat naik kenyataan bahawa dia sudah berpuas hati dengan kematian isterinya kerana sebelum hari raya isterinya ada menyita motosikal lelaki berkenaan.
  
“Memang saya tidak berpuas hati dengan kematian isteri saya sebab saya syaki ada unsur-unsur balas dendam oleh kumpulan Mat Rempit,” katanya.
  
Sehubungan itu, beliau mahu supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian isterinya itu.
  
Leon berkata, kali terakhir dia bercakap dengan isterinya ialah pada kira-kira jam 12 tengah malam beberapa jam sebelum kejadian, tetapi ia tidak menunjukkan sebarang petanda atau kelakuan yang aneh.
  
Menurut Leon, seorang anggota tentera di Kem Mahkota, Johor, isterinya seorang yang baik dan bertanggungjawab serta amat tegas dan komited dengan tugasnya.
  
“Kami juga amat jarang bersama kerana masing-masing sibuk dengan tugas. Masa kami bersama biasanya pada hujung minggu,” tambahnya.
  
Sementara itu, bapa mendiang, Goen Raip, seorang pesara Sarjen polis berkata, kali terakhhir beliau dan isteri beliau bertemu dengan anaknya itu ialah ketika mendiang pulang untuk menyambut Gawai Dayak pada Jun lepas.

“Dua hari sebelum kejadian dia ada menghubungi ibunya dan cucu saya dan telah menasihatkan anak buahnya supaya belajar bersungguh-sungguh,” kata Goen.
  
Katanya, dalam perbualan telefon itu cucunya itu meminta wang daripada Margaret untuk membayar yuran belajar menunggang motosikal, tetapi dinasihatkan belajar dahulu.
  
“Dia memang baik dan mesra dengan anak-anak buahnya. Setiap kali dia pulang pasti dia ada membeli hadiah untuk anak-anak buahnya dan membawa mereka bersiar-siar,” kata Goen.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superitenden Mohd Sabri Zainol berkata, kematian Inspektor Margaret Tagum Goen satu kehilangan besar kepada pasukan polis.
  
“Mendiang seorang pegawai yang masih muda dan sepatutnya boleh memberi perkhidmatan yang masih panjang kepada masyarakat," katanya ketika ditemui Bernama di rumah keluarga mendiang.
  
Pegawai polis wanita berusia 32 tahun itu meningggal dunia petang semalam akibat cedera parah dirempuh Mat Rempit ketika Ops Roda/Rempit di Kilometer 58 Jalan Batu Pahat-Mersing, Johor pada jam 2.40 pagi semalam.
  
“Kita amat kesal dengan apa yang menimpa Inspektor Margaret.
  
"Sepatutnya pengguna-pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak bertindak samseng di atas jalan raya sehingga mengorbankan nyawa orang lain," kata Mohd Sabri.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat umum supaya memberi sokongan penuh kepada pasukan keselamatan dan elak daripada terlibat dengan kegiatan lumba haram dah merempit.
  
Sementara itu, presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Datuk Ik Pahon Joyik, yang merupakan bapa saudara kepada mendiang berkata walaupun sedih tetapi keluarga mendiang bangga kerana Margaret terkorban semasa menjalankan tugas untuk negara.
  
Beliau menyifatkan Margaret, anak ketiga daripada empat adik-beradik sebagai seorang pegawai polis yang berdedikasi dan komited terhadap tugasnya serta memiliki potensi untuk naik ke jawatan yang lebih tinggi.
  
Sementara itu, suasana pilu menyelubung rumah keluarga mendiang sebaik jenazahnya tiba di Kampung Bogag, Serikin di sini kira-kira jam 1.10 tengah hari tadi.

Selain kehadiran saudara-mara dari dekat dan jauh dan penduduk kampung, turut berada di rumah keluarga mendiang untuk menyambut ketibaan jenazahnya ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Anthony Nogeh Gumbek dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bau Asisten Superitenden Benedict Faris Jimoy.

Sementara itu, Sabri berkata, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman akan turut memberi penghormatan terakhir beliau kepada mendiang di rumah keluarga mendiang esok.
  
Muhammad turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menyambut ketibaan jenazah mendiang pagi tadi.
  
Jenazah mendiang akan disembahyangkan di gereja St Mary Kampung Bogag pada jam 1 petang esok dan seterusnya akan dikebumikan di tapak perkuburan gereja berkenaan pada jam 2 petang.  - Bernama