Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia hadir di Perhimpunan Agung Antara Parlimen Asean (AIPA) ke-36 di Kuala Lumpur hari ini.
Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia hadir di Perhimpunan Agung Antara Parlimen Asean (AIPA) ke-36 di Kuala Lumpur hari ini.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menegaskan tidak ada menteri, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dibenarkan menolak sebarang usul sebelum ia dikemukakan.
Hanya speaker yang berhak berbuat demikian, katanya, ketika pemimpin Barisan Nasional (BN) menafikan cakap-cakap mengenai usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.
"Tidak ada menteri boleh menolak apa-apa (usul). Yang berkuasa mengenai hal usul adalah speaker.
"Tidak ada, termasuk perdana menteri. Jadi harus difahami," katanya kepada pemberita di Perhimpunan Agung Antara Parlimen Asean (AIPA) ke-36 di Kuala Lumpur hari ini.
Pandikar ditanya sama ada menteri boleh menolak cadangan usul sebelum ia dibentangkan, susulan berita usul tidak percaya mungkin dibentangkan terhadap Najib yang kini berdepan masalah berkaitan beberapa kes seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan derma RM2.6 bilion daripada Timur Tengah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya pada 2013.
Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tidak ada usul undi tidak percaya akan dibawa ke atas perdana menteri kerana beliau masih memiliki majoriti dalam Dewan Rakyat.
Katanya, usul sedemikian tidak boleh sewenang-wenangnya dibawa dalam sistem negara.
Namun Sinar Harian kemudiannya melaporkan, Azalina menafikan membuat kenyataan itu, mendakwa ia diputar belit.
"Saya tidak pernah keluarkan kenyataan undi tidak percaya terhadap perdana menteri tidak boleh dibawa ke sidang Dewan Rakyat di Parlimen... apa yang saya katakan sebenarnya usul sebegitu tidak pernah dibawa ke dalam sidang," katanya.
Sementara itu, PKR berkata, tambahan 25 ahli Parlimen daripada BN diperlukan bagi membantu blok pembangkang menyokong usul yang memaksa Najib berundur.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menggesa ahi Parlimen BN menyokong usul tidak percaya itu, sambil menambah walaupun sekiranya semua menyokong langkah itu, parti pemerintah akan tetap kekal berkuasa kerana ia memegang majoriti kerusi di Dewan Rakyat.
Terbaru, Najib sendiri seperti menolak idea itu apabila beliau mengatakan "kuasa rakyat" untuk memilih kerajaan baru hanya boleh digunakan sewaktu pilihan raya, bukan dalam bentuk lain di luar pilihan raya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pula mengetepikan salah anggapan tentang kuasa rakyat untuk mengadakan pilihan raya dengan berkata, prerogatif untuk memanggil pilihan raya sentiasa terletak pada perdana menteri.
"Salah anggapan yang ditimbulkan ialah 'kuasa rakyat' akan menentukan. Kuasa rakyat boleh menentukan siapa yang dapat mandat untuk membentuk kerajaan melalui peti undi.
"Tetapi kuasa rakyat tidak menentukan bila kerajaan berundur. Perdana menteri menentukannya dan sebarang tindakan bertentangan dengannya dianggap sebagai 'rampasan kuasa'," katanya dalam blognya. – 7 September, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.