Wakil rakyat sertai GHB tidak perlu letak jawatan – Ahmad Awang
KENYATAAN MEDIA: Saya memandang berat
kenyataan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang mahukan
wakil rakyat PAS yang bakal menyertai parti baru oleh Harapan Baru untuk
meletakkan jawatan mereka sebagai wakil rakyat.
Rakyat telah memilih mereka kerana
mereka mewakili Pakatan Rakyat yang menjanjikan agenda untuk membuat
perubahan politik dalam negara dengan matlamat menjatuhkan rejim
pemerintahan UMNO/BN.
Selagi mana wakil rakyat yang dipilih kekal memperjuangkan matlamat ini, maka mereka layak untuk terus menggalas amanah rakyat.
Di satu segi lain, tidak ada peruntukan
perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun amalan secara
konvensional yang mengisyaratkan keperluan meletakkan jawatan.
Kenyataan PAS mendesak mereka meletakkan
jawatan dalam keadaan mereka terus memperjuangkan hasrat rakyat yang
telah mengundi mereka adalah membelakangkan kepentingan pengundi.
Seperkara lagi pada saat ini, rakyat
mendesak supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan atas
skandal wang RM2.6 billion di dalam akaun peribadi beliau dan kegagalan
pengurusan ekonomi negara.
Nilai ringgit terus menyusut dan simpanan asing juga mengecil ke paras yang mencemaskan.
Maka sewajarnya seluruh ahli-ahli
parlimen pembangkang bersedia untuk mengisytiharkan sokongan mereka
terhadap undi tidak percaya yang akan dibawa ke atas Dato’ Seri Najib
Tun Razak.
Saya berkeyakinan adalah lebih baik
untuk Dato Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan mendesak
mana-mana ahli parlimen pembangkang yang tidak menyokong undi tidak
percaya ini untuk meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi mereka.
Kenyataan seperti ini lebih mewakili kehendak rakyat.
Yang pasti, wakil-wakil rakyat telah
mengangkat sumpah di dalam dewan untuk menjalankan tugas mereka dengan
penuh amanah dan tanggungjawab untuk kepentingan negara.
Sikap mereka yang menampilkan komitmen
yang tinggi (di dalam dan di luar dewan) untuk terus memperjuangkan
aspirasi dan kehendak rakyat bagi menuntut perubahan untuk negara, tanpa
mengira parti mana yang mereka wakili, seharusnya diberi pujian dan
sokongan, bukannya diminta untuk melepaskan jawatan.
USTAZ AHMAD AWANG adalah Penasihat Umum GERAKAN HARAPAN BARU
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.