Followers

Sunday, August 9, 2015

Utusan Buat Onar Lagi



Sambutan mesra Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima kunjungan beberapa pemimpin pembangkang pada minggu ini memperlihatkan agensi itu “cuba bermain politik”, kata akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Awang Selamat, nama pojok yang mewakili pengarang akhbar itu berkata pemimpin pembangkang cuba menunjukkan sentimen berbeza kali ini selepas pernah mengecam SPRM dalam kes kematian Teoh Beng Hock.

“Sebab itu Awang senyum lebih-lebih lagi melihat gambar penasihat DAP Lim Kit Siang di pejabat SPRM di Putrajaya.

Cuma agak hairan mengapa SPRM dalam situasi yang panas membenarkan delegasi pembangkang masuk ke bangunan dan berdialog.“Seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan pegawai tertentu dan ia mengundang pelbagai tafsiran termasuk dilihat ‘cuba bermain politik’,” katanya seperti disiarkan akhbar itu edisi Ahad, Mingguan Malaysia.

Awang Selamat berkata pemimpin pembangkang cuba menangguk di air keruh apabila siasatan SPRM kali ini berkait dengan pemimpin kerajaan.  “Seperti dijangka, DAP bersama PKR dan Gerakan Harapan Baru atau GHB (kumpulan serpihan yang ditolak oleh akar umbi PAS) bertindak cepat menangguk di air keruh dalam isu siasatan polis ke atas beberapa pegawai SPRM.

“Hanya disebabkan siasatan SPRM melibatkan pemimpin kerajaan maka parti itu tanpa rasa malu mahu berbaik dengan SPRM sambil menyerlahkan sekali lagi siapa sebenarnya musang berbulu ayam,” katanya.

Kira-kira 10 wakil rakyat pembangkang mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis bagi menyatakan sokongan terhadap agensi anti rasuah itu.

Antaranya ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (PAS), Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli (PAS) dan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli (PKR).

Turut hadir Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Gelang Patah), Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok (DAP), Pengerusi Gerakan Harapan Baru Mohamad Sabu dan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Mereka mengadakan pertemuan dengan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob dan dalam sidang media selepas itu berkata, seluruh rakyat harus memberi sokongan kepada SPRM.Mohamad berkata, kejadian terbaru yang dianggap "serangan" polis terhadap anggota SPRM menunjukkan SPRM tidak berkuasa.

"Kami hendak menyatakan sokongan kepada SPRM supaya ia boleh menjadi sebuah badan yang berwibawa terutamanya dalam menyiasat mereka dalam kedudukan yang tinggi di Malaysia," katanya.
 
 
ADDIN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.