Followers

Sunday, August 9, 2015

SPRM - Khairy Tak Takut Hilang Jawatan Seperti Muhyiddin



Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau rela menerima nasib sama seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin jika tindakannya mempertikaikan pertukaran pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak disenangi kerajaan.

Menurut beliau, berdasarkan pendirian sesuatu yang benar mesti dipertahankan.

Tambahan pula, katanya, pertukaran dua pegawai kanan agensi pencegahan rasuah itu berlaku tanpa pengetahuan kabinet.

Ahli Parlimen Rembau berkata, pertukaran itu berlaku selepas mesyuarat kabinet.

"Jadi mana kita tahu. Kita pun tak tahu," kata Khairy di sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan wanita, pemuda dan puteri Umno bahagian Klang, hari ini.

Khairy menambah, sekiranya berpeluang beliau akan membawa sendiri isu itu kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamza selepas ini.

"Saya akan tanya dia (Ali Hamza), kenapa ini berlaku? Adakah sesuai untuk membuat pertukaran ini dalam situasi sekarang?" katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu menegaskan SPRM mesti diberi kebebasan untuk menjalankan tugas tanpa sebarang sekatan atau ugutan.

Semalam Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri dalam pertukaran mengejutkan banyak pihak.

Kata tiada masalah, orang akan gelak

Pengumuman itu dibuat ketika SPRM berdepan siasatan polis berhubung dakwaan berlaku kebocoran maklumat kerajaan.

Pada masa sama SPRM sedang menjalankan siasatan kes berprofil amat tinggi kerana membabitkan perdana menteri secara langsung.

Sementara itu, Khairy menyeru ahli Umno supaya berani untuk bangkit bersuara jika mendapati parti itu bermasalah.

Katanya, suara itu boleh disampaikan melalui mesyuarat perwakilan.

"Saya rasa kalau kita tak sebut kita ada masalah, orang akan gelakkan kita, sebab satu dunia tahu kita hadapi keadaan politik yang sangat mencabar pada hari ini.

"Ahli umno bangkitlah. Jangan cakap tak ada masalah. Bersama-sama bangkit untuk cari penyelesaian dan kembalikan maruah Umno," katanya.

Khairy berpendapat Umno hari ini menghadapi krisis kepercayaan apabila rakyat semakin tidak yakin kepada parti berkenaan.

Katanya, pemimpin Umno tidak dapat menyelesaikan masalah jika akar umbi tidak bersuara untuk menyatakan hakikat parti itu.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.