Followers

Tuesday, August 18, 2015

Rupanya Ini Kejutan Perhimpunan Bersih 4?


Rupanya Ini Kejutan Perhimpunan Bersih 4? Perhimpunan Bersih 4 yang dijadualkan 29 dan 30 Ogos ini di Kuala Lumpur, bakal membawa kelainan apabila ia dijangka akan turut disertai pimpinan dan penyokong Umno, kata penganalisis politik Dr Maszlee Malik.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata demikian susulan tindakan penganjurnya menjemput Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menyertainya, selepas beliau mengatakan tidak ada masalah dengan perhimpunan itu.

"Kita mungkin akan menyaksikan satu kelainan dalam Bersih kali ini, iaitu kehadiran para penyokong Umno sendiri.


"Dan tidak mustahil kita akan dapati ada pimpinan Umno turut serta," katanya kepada The Malaysian Insider.

Ini kerana katanya, Bersih 4 yang turut akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak, diadakan ketika rakyat sedang keliru dengan keadaan ekonomi dan politik semasa.

"Pelbagai isu yang melanda negara, dibalas dengan 'act of denial' (tindakan penafian) di pihak kerajaan.

"Ini tidak menghilangkan kesangsian dan kegusaran yang bersarang di dalam jiwa rakyat Malaysia teramai, hatta dalam kalangan para pemimpin Umno dan penyokong Umno sendiri," kata Maszlee.

Beliau turut mengulas kenyataan Jazlan yang disifatkannya memperkecilkan perhimpunan yang dianjurkan rakyat.

"Adalah normal bagi menteri Umno untuk memperkecilkan demonstrasi dan perhimpunan yang dianjurkan rakyat selain penyokong mereka.

"Bukan pertama kali, malah di setiap perhimpunan Bersih dan lain-lain lagi," katanya.

Justeru, beliau menggesa menteri Umno itu untuk turun ke jalan dan melihat sendiri sambutan rakyat sewaktu perhimpunan itu nanti.

Rupanya Ini Kejutan Perhimpunan Bersih 4?

Sebelum ini, pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menjemput Jazlan menyertai perhimpunan mereka di Dataran Merdeka itu.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Thalib Khalid berkata, jumlah kehadiran peserta demonstrasi bukan kayu pengukur untuk menilai sokongan masyarakat.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, pola masyarakat Malaysia berbeza dengan negara lain yang menggunakan demonstrasi untuk menggulingkan kerajaan.

"Kalau ramai yang datang, tidak bermakna sokongan ramai dan kalau tidak ramai datang, tidak bermakna isu itu tidak penting. Saiz bukan ukuran.

"Pola demonstrasi di Malaysia tidak begitu tajam dan berkesan seperti di Thailand, Indonesia dan Filipina yang menggunakan demo jalanan untuk jatuhkan regim dengan sokongan elit tentera" kata Kartini kepada The Malaysian Insider.

Malah katanya, segmentasi etnik di Malaysia adalah kuat dan beliau percaya politik akomodasi akhirnya akan berakhir di meja perundingan.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Kajian Etnik UKM Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, golongan yang terlibat dalam demonstrasi merupakan penduduk bandar yang majoritinya faham tujuan dan matlamat akhir sesuatu demonstrasi.

Namun katanya, ada juga sebahagian pengikut muda dan peserta yang menyokong membuta tuli.

"Yang (turun) demonstrasi itu selalunya adalah yang celik politik. Sekiranya mereka merasakan demonstrasi tidak dapat merubah apa-apa, mereka tidak perlu demonstrasi," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Bilangan yang datang demonstrasi boleh meningkat sekiranya diadakan pada hujung minggu ketika ramai yang bercuti," kata Shamsul.

Jazlan sebelum ini menyifatkan sentimen rakyat untuk berdemonstrasi kini tidak lagi tinggi, meskipun terdapat perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan. 

Rakyat kini pada pandangannya, bersikap rasional dan memikirkan jangka masa panjang negara.

Situasi kini berbeza katanya, dibandingkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada 1998, di mana rakyat ketika itu menurutnya cenderung menyertai demonstrasi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.