Followers

Wednesday, August 26, 2015

Pertukaran ketua nombor 2 SB ‘amat membimbangkan’, kata bekas KPN


Zar Ali's photo.

Bekas ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor menyifatkan pertukaran bekas timbalan pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador sebagai "amat membimbangkan".


Rahim berkata, kebimbangan itu bertambah kuat apabila bekas ketua Cawangan Khas, Datuk Seri Akhil Bulat turut digantikan pada Julai lalu, seminggu sebelum kontraknya tamat.

"Orang nombor 1 sudah tiada lagi di sana dan kini nombor 2 dipindahkan.

"Orang yang waras akan berfikir adalah lebih baik untuk tidak menukar 2 individu tersebut serentak," katanya seperti dilaporkan The Star hari ini.

Laporan sama menyebut Hamid pernah bekerja di bawah penyeliaan Rahim sewaktu bekas KPN itu menjadi pengarah Cawangan Khas.

Rahim berkata, Hamid seorang pegawai perisik yang sangat tekun dalam melaksanakan tugasnya.

"Dia sangat bijak dan berdedikasi. Beliau seorang pegawai perisikan 100%. Ia ada di dalam darahnya.

"Sebagai bos, saya tidak pernah meragui beliau dan keselamatan negara sentiasa menjadi keutamaannya.

"Beliau amat dedikasi dengan unit Cawangan Khas. Beliau akan melakukan apa saja untuk melindungi integriti, imej dan maruah Cawangan Khas," katanya.

Rahim yang terkenal dengan ketegasannya itu turut memuji keberanian anak buahnya itu bersuara sewaktu masih berkhidmat dalam kerajaan.

"Hakikatnya beliau berani mengeluarkan kenyataan semasa masih dalam perkhidmatan kerajaan, itu menunjukkan warna sebenarnya. Beliau berani kerana benar," kata Rahim.

Hamid, yang memulakan kerjayanya dengan unit risikan polis, Cawangan Khas, baru-baru ini ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri sebagai timbalan pengarah di bahagian jenayah rentas sempadan, melapor terus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau pada mulanya berang dengan pertukaran mendadak itu dan mempunyai sehingga 17 September untuk buat keputusan sama ada menerima atau tidak jawatan berkenaan.

Pertukarannya dibuat selepas tindakan turut diambil terhadap agensi penguatkuasa lain yang terlibat dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hamid berjanji akan mendedahkan lebih banyak lagi mengenai “isu semasa” dan berkata beliau tidak takut tindakan akan dikenakan terhadapnya.

Hamid berkata beliau masih dibayar gaji oleh kerajaan dan sedia maklum mungkin ada akibatnya kerana bercakap secara terbuka, tetapi menambah kesetiaannya adalah kepada negara dan agama. – TMI


Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.