Followers

Saturday, August 29, 2015

Pelajar universiti boleh sertai Bersih 4, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon, larangan ke atas pelajar universiti dan kolej daripada menyertai Bersih 4 tidak terpakai berikutan pindaan terhadap Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU) 4 tahun lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon, larangan ke atas pelajar universiti dan kolej daripada menyertai Bersih 4 tidak terpakai berikutan pindaan terhadap Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU) 4 tahun lepas.

Pelajar institusi pengajian tinggi kini dibenarkan menyertai perhimpunan 34 jam Bersih 4 yang akan akan bermula esok walaupun pada awalnya mereka dilarang berbuat demikian, kata timbalan menteri pendidikan Chong Sin Woon.

Katanya, larangan ke atas pelajar universiti dan kolej daripada menyertai pergerakan masyarakat sivil itu tidak terpakai berikutan pindaan terhadap Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU) 4 tahun lepas.

"Mereka bebas untuk mengekspresi diri mereka," beliau dipetik berkata portal berita The Star Online hari ini.

Pada 24 November, 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pindaan kepada Seksyen 15 AUKU bagi menggugurkan sekatan terhadap penyertaan pelajar dalam politik.

Pindaan itu – dibuat selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan penting mengatakan akta itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan - memberi pelajar universiti lebih kebebasan politik.

Seksyen 15 (1) akta itu menyatakan seorang pelajar universiti boleh menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan, kumpulan atau mana-mana parti politik di dalam dan di luar Malaysia.

Dua hari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin memberi amaran kepada pelajar universiti agar tidak terbabit dalam perhimpunan Bersih 4.

Beliau berkata, pelajar yang didapati menyertai perhimpunan tersebut akan dikenakan tindakan disiplin sama ada digantung atau dibuang.

Pada hari yang sama, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara Prof Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar memberi amaran kepada pelajarnya supaya tidak menyertai perhimpunan tersebut.

Sementara itu, Chong yang juga Ketua Pemuda MCA itu berkata, ahli sayap parti itu dibenarkan menyertai perhimpunan Bersih 4 dan tidak akan dikenakan tindakan.

"Tetapi, apa yang saya cuma hendak katakan ialah, tolong jangan langgar undang-undang, berdisiplin dan jaga diri masing-masing," katanya sambil menggesa polis melindungi peserta. – 28 Ogos, 2015.

.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.