Followers

Tuesday, August 25, 2015

Pas Selangor Umum Pengganti Khalid Dan Dr. Mariah


SHAH ALAM - Badan Perhubungan Pas Selangor hari ini mengumumkan pihaknya telah mengambil alih pentadbiran tiga kawasan Pas di negeri itu iaitu di Kota Raja, Shah Alam dan Kelana Jaya.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pengambilalihan tiga kawasan tersebut dibuat mengikut peruntukan dalam Fasal 26(9)(j) Perlembagaan Pas (Pindaan 2011).

"Jawatankuasa Tadbir Sementara ini berkuasa untuk melaksanakan fungsi-fungsi dan tugas-tugas Jawatankuasa Kerja Pas Kawasan dan ia bagi melicinkan proses mengisi kekosongan jawatan.

"Pentadbiran Pas Kota Raja dan Shah Alam, proses pelantikan jawatan-jawatan pemangku dan ahli jawatankuasa kerja kawasan itu telah disahkan setiausaha agung Pas Pusat dalam satu pertemuan pada 21 Ogos lalu di Pejabat Agung Pas," katanya pada sidang media di Badan Perhubungan Pas Selangor, di sini, hari ini.

Beliau mengulas peletakan jawatan beramai-ramai ahli jawatankuasa Pas Selangor di beberapa kawasan termasuk semalam seramai 10 pemimpin dari kawasan Hulu Langat.

Ahmad Yunus juga turut mengumumkan muka baharu bagi menggantikan Yang Dipertua Pas Kota Raja dan Shah Alam, masing-masing ialah Muhammad Diah Baharom dan Abdul Halim Omar, manakala Kelana Jaya akan diumumkan pada minggu ini.

Jawatan tersebut menjadi kosong apabila Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Khalid Samad (Shah Alam) mengumumkan meletakkan jawatan dalam Pas, pada minggu lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus berkata lagi, peletakkan jawatan itu tidak menjejaskan urusan pentadbiran dan pengurusan Pas di tiga kawasan terbabit.

"Peletakkan jawatan ahli-ahli tersebut juga tidak memberi kesan terhadap status pembubaran kawasan dan cawangan kerana kuasa untuk membubarkan cawangan adalah di bawah kuasa Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berdasarkan Fasal 26(9)(j)," katanya lagi
 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.