Followers

Monday, August 17, 2015

Langkah mayat kami jika mahu tukar kerajaan jalan belakang, kata Zahid - OLEH MOHD FARHAN DARWIS



Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini memperuntukkan proses pertukaran kerajaan dilakukan melalui pilihan raya yang sah, meskipun terdapat klausa dalam Perlembagaan yang membenarkan kerajaan ditukar selain daripada pilihan raya umum.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana pemimpin Umno yang ingin bekerjasama dengan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui "jalan belakang" perlu berhadapan dengan ahli Umno.

Beliau berkata, sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini memperuntukkan proses pertukaran kerajaan dilakukan melalui pilihan raya yang sah, meskipun terdapat klausa dalam Perlembagaan yang membenarkan kerajaan ditukar selain daripada pilihan raya umum.

"Ini negara demokrasi, kita ada pilihan raya untuk memilih kerajaan, walaupun ada beberapa klausa jika tidak mendapat kepercayaan,  Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat perdana menteri boleh bubar (Parlimen).

"Jika akuan bersumpah diperolehi daripada majoriti ahli Parlimen kerajaan yang ada itu tumbang maka terbentuk kerajaan baharu.

"Langkah mayat ahli-ahli Umno kalau nak tukar kerajaan guna jalan belakang," kata Zahid.

Beliau juga berkata, BN akan mencari jalan untuk memastikan tiada wakil rakyat mereka daripada ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) melompat parti.

"Kita akan cari jalan tidak akan berlaku lompat parti, ahli Parlimen dan Adun kita," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataannya sebelum ini yang mengatakan terdapat pemimpin Umno yang bekerjasama dengan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan melalui akuan bersumpah.

"Susah-susah adakan pilihan raya, kita menang majoriti walau tidak dua pertiga. Bila kapal bergoyang, ombak melanda, ada yang nak korek kapal, bagi air laut masuk dalam kapal.

"Saya tidak menamakan sesiapa, Alhamdulillah kalau penafian dilakukan mana-mana tokoh," katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata, selaku naib presiden Umno, beliau tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.

"Surat sumpah akuan janji itu disiapkan untuk ditandatangani bukan sahaja 87 ahli Parlimen pembangkang, tapi 1 BN, dan mereka sasarkan 37 lagi ahli Parlimen BN untuk bersama mereka.

"Adakah namanya kerajaan BN, jika kita ada 37 mereka ada 87?" soalnya.

"Sebelum nasi menjadi bubur, saya sebagai naib presiden, saya akan pastikan konspirasi itu tidak akan terjadi."

Zahid turut menegaskan, maklumat yang diterimanya berkenaan perkara itu adalah sah.

"Ini bukan nak beri amaran-amaran. Zahid Hamidi tidak beri amaran, kalau nak bertindak dia akan bertindak tanpa amaran," katanya.

"Alhamdulillah perkara itu tidak berlaku, tapi saya tahu siapa orang itu."

Beliau turut berkata, dirinya tidak menyalahgunakan kuasa, sebaliknya, maklumat berkenaan diperolehinya selaku menteri dalam negeri.

"Saya bukan salahgunakan kuasa saya, tapi jangan pertikaikan kemampuan menteri dalam negeri ini mendapatkan maklumat yang sahih. Ini maklumat sebenar," katanya.
.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/langkah-mayat-ahli-umno-jika-mahu-tukar-kerajaan-guna-jalan-belakang-

http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.