Followers

Tuesday, August 18, 2015

Komplot gulingkan Najib kerana gagal selesai isu 1MDB – Kadir Mohamad Fadli


Khadir-Sheikh_najib_1mdb_600

Presiden IKATAN tidak menolak kemungkinan Ahli Parlimen BN berbuat demikian kerana ditawarkan wang.

PETALING JAYA: Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Abdul Khadir Sheikh Fadzir berkata, dakwaan wujudnya komplot untuk mengulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kerana kecewa skandal 1MDB gagal diselesaikan.

Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) itu berkata, ahli UMNO sudah letih melihat keadaan perkembangan politik semasa terutamanya tindakan kerajaan melengah-lengahkan siasatan 1MDB dan keadaan ekonomi negara yang semakin menekan.

“Seluruh rakyat Malaysia sememangnya mahu perkara ini diselesaikan dengan segera kerana rakyat sudah letih.

“Rakyat juga mahu mereka lebih menumpukan kepada perkara-perkara yang lebih penting dan berfaedah dalam usaha membantu rakyat,” katanya dalam temubual khas bersama FMT.

Kadir berkata, sekiranya kemelut isu 1MDB ini dapat diselesaikan, beliau yakin desakan atau kritikan terhadap Najib tidak berlaku.

Malah, katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tidak akan mengkritik terhadap isu 1MDB ini sekiranya persoalan-persoalan yang dibangkitkan dapat dijawab dan diselesaikan dengan segera.

Bagaimanapun beliau berpandangan kritikan terhadap Najib ini jelas kerana angka-angka seperti RM42 bilion dan RM2.6 bilion sangat menakutkan rakyat termasuk Dr Mahathir.

“Angka-angka ini sememangnya merosakkan negara dan kewangan negara.

“Tidak hairanlah Dr Mahathir dan pihak-pihak lain termasuk pembangkang bimbang mengenai isu 1MDB yang dilihat tidak berkesudahan,” katanya.

Kadir, yang pernah menjadi Menteri Penerangan dan Menteri Pelancongan itu juga tidak menolak kemungkinan pemimpin UMNO yang berkomplot menggulingkan Najib itu kerana ditawarkan wang ringgit.

“Jika benar dakwaan itu dan ada bukti yang kukuh, tidak mustahil satu hari nanti ada pihak-pihak yang mempunyai banyak wang pula membeli Ahli-ahli Parlimen supaya mereka berpaling tadah terhadap kerajaan.

“Bukan disebabkan kerajaan melakukan kesalahan tetapi hanya untuk wang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.