Followers

Wednesday, August 19, 2015

Khalid-Azmin ‘bertegang urat’ bahas isu pampasan MBI


Zar Ali's photo. Suasana Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tegang seketika apabila Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dan pendahulunya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim saling berbalah mengenai isu pampasan RM2.6 juta kepada lapan bekas pegawai Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Khalid dalam sesi soal jawab bangun mempertikaikan Azmin mewujudkan satu entiti pengurusan risiko pelaburan baru, iaitu Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) di bawah MBI.

Entiti khas bebas audit itu menurut penjelasan Azmin dalam DUN sebelum itu diwujudkan pada Mei lalu.

Khalid bagaimanapun menyifatkan DEIG itu sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), apabila menjadi pihak tengah (intermediary) yang akan menyebabkan DUN tidak dapat memantau pergerakan entiti itu secara telus.

Adun Pelabuhan Klang itu membandingkan dengan cara pentadbirannya terdahulu yang menguruskan MBI di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

"Jika benar MBI diambil alih oleh satu kedudukan yang tidak jelas di bawah KDEB dan letakkan entiti baru, bunyi sedap tapi dari segi pelaksanaan?

"Bagaimana MBI boleh dibayar pampasan dengan jumlah yang tinggi tanpa kelulusan? Di mana ketelusan yang menyatakan tujuan MBI bertanggungjawab kepada Dewan tapi tak dimaklumkan? Lembaga MBI juga tidak dimaklumkan secara terbuka?" bidas Azmin.

Khalid kemudian cuba mencelah kata-kata Azmin: "Saudara jangan cakap begitu... itu sedang dalam mahkamah, tak payah bincang."

Perbalahan itu kemudian cuba dileraikan Speaker DUN Hannah Yeoh.

"Dua-dua Adun sila duduk. Adun Bukit Antarabangsa sila kembali kepada DEIG. Mengenai isu pampasan jangan sebut sebab dalam mahkamah lagi," katanya.

Khalid ketika ditemui pemberita di luar DUN berkata, DEIG, syarikat berdaftar di bawah Akta Suruhanjaya Syarikat 1965 akan mengurangkan ketelusan kerana urusan hutang dan bayarannya tidak dibincangkan dalam dewan.

"Saya berpendapat kerajaan negeri memang tidak mempunyai kepakaran untuk mengendalikan aset-aset seperti pengalaman yang berlaku di kerajaan persekutuan oleh sebab itu semua perkara ini perlu dibawa untuk dibahaskan di dewan.

"Pasal puas hati atau tidak perkara lain, itu biasa dalam usaha kita mencari jalan untuk menentukan kepentingan rakyat diutamakan, itu tidak menjadi masalah. Pada saya patut diperbahaskan lagi itulah tanggungjawab ahli dewan," katanya.

Lapan pegawai bekas Khalid sebelum ini menerima pampasan Skim Pengasingan Bersama (MSS), dibuat pada akhir tempoh perkhidmatannya sebelum Azmin mengambil alih jawatan menteri besar pada September tahun lalu.

MBI pada 11 Mei lalu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam menuntut semua defendan membayar faedah 5% ke atas jumlah yang dituntut, pampasan kewangan lain dan kos jika keputusan mahkamah memihak kepada MBI.

Saman itu difailkan atas alasan defendan tidak layak menerima pampasan itu.

Defendan terbabit ialah bekas ketua pegawai eksekutif MBI, Faekah Husin dan tujuh lain iaitu Rohani Talib, Arfa'eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd Talib, Rahimah Kamarudin, Dr Sulaiman Masri, Abdul Halim Mohamed Yusof dan Tuan Nazuri Tuan Ismail. - TMI


Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.