Followers

Thursday, August 13, 2015

Kemelut berterusan, mesyuarat MT Umno bulan ini mungkin tangguh lagi OLEH MD IZWAN


Tekanan dan rasa tidak puas hati sejak rombakan Kabinet dilakukan dikatakan antara sebab Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor teragak-agak membuat keputusan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dijadualkan hujung bulan ini

Tekanan dan rasa tidak puas hati sejak rombakan Kabinet dilakukan dikatakan antara sebab Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor teragak-agak membuat keputusan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dijadualkan hujung bulan ini.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadualkan pada 28 Ogos ini mungkin ditangguhkan sekali lagi selepas kemelut dalaman parti masih berterusan susulan rombakan Kabinet bulan lepas.

Sumber dalam parti berkata, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor masih belum mengeluarkan notis sama ada mesyuarat tersebut akan diadakan atau tidak setakat ini.

"Mesyuarat tersebut sudah ada dalam jadual setiausaha agung, cuma beliau masih lagi tidak membuat keputusan untuk memanggil mesyuarat atau tidak," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tekanan dan rasa tidak puas hati sejak rombakan Kabinet dilakukan – yang menyaksikan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digugurkan – dikatakan antara punca Tengku Adnan teragak-agak membuat keputusan memanggil mesyuarat kali ini.

"Sejak rombakan Kabinet, tidak ada tanda kemelut dalam parti reda, tapi sebaliknya lebih teruk.

"Kamu boleh lihat dalam mesyuarat bahagian dan sayap yang berlangsung sepanjang bulan ini, yang panas. Kritikan daripada akar umbi kepada presiden juga tidak nampak akan berhenti," kata sumber tersebut.

Sebelum ini, mesyuarat MT pada 29 Julai juga dibatalkan pada saat akhir di mana difahamkan ia sepatutnya diadakan bagi membuat keputusan berhubung status Muhyiddin dan Shafie.

Bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah tersebut disingkirkan daripada Kabinet Datuk Seri Najib Razak dikatakan akibat perbezaan pendapat dalam isu syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Tengku Adnan ketika ditemui pada Isnin berkata, beliau belum membuat keputusan mengenai mesyuarat 28 Ogos ini dan akan membuat kenyataan mengenainya kemudian.

"Tunggu nanti saya akan beri kenyataan," katanya ringkas.

Dalam pada itu, pegawai Shafie memberitahu The Malaysian Insider, mereka juga masih belum menerima sebarang notis mengenai mesyuarat 28 Ogos ini.

Bagaimanapun, melambatkan mesyuarat bukan lagi menjadi pilihan kerana perlembagaan Umno menyatakan, MT hendaklah bersidang setiap 2 bulan sekali, atau apabila presiden memanggilnya, atau apabila dua pertiga daripada anggota majlis membuat permintaan bertulis memohon ia diadakan.

Jika setiausaha agung tidak juga memanggil mesyuarat, ahli yang memohon supaya mesyuarat itu diadakan boleh juga memanggil mesyuarat dengan syarat semua ahli MT dijemput hadir.

Menurut perlembagaan Umno, "Jika setiausaha agung tidak memanggil mesyuarat mengikut Fasal 9.13.2 dalam tempoh 14 hari daripada tarikh permohonan itu dibuat, maka ahli yang memohon boleh memanggil mesyuarat itu dengan syarat semua ahli MT dijemput hadir.

"Satu perdua daripada bilangan ahli MT adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuarat." – 13 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.