Followers

Tuesday, August 18, 2015

“Kami tidak terlibat komplot gulingkan kerajaan’ FMT Reporters


bung,-rahim

Bung Mokhtar dan Rahim Bakri terkejut nama mereka dikaitkan antara Ahli Parlimen yang terlibat dalam gerakan menggulingkan kerajaan.

PETALING JAYA: Dua Ahli Parlimen dari Sabah menafikan dakwaan mereka terlibat dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan.

Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Ahli Parlimen, Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden menyifatkan dakwaan itu sebagai berniat jahat.

“Laporan itu adalah tidak bermoral, fitnah, serkap jarang dan bertujuan mencemarkan imej ahli-ahli Parlimen khususnya (dari) UMNO dan Barisan Nasional (BN),” kata Rahim.

Katanya, dakwaan itu tidak logik kerana sejak dua minggu lalu, beliau berada di kawasan Parlimennya menjalankan program Bersama Rakyat selain mengurus hal ehwal keluarga.

“Sebagai pemimpin yang telah bergiat lama dalam UMNO iaitu sejak 24 tahun lalu dan memegang pelbagai jawatan parti dan kerajaan, saya amat bersyukur dan sangat berpuas hati dengan pencapaian itu.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberikan peluang kepada saya (berkhidmat) dalam tiga kementerian penting iaitu Kementerian Luar, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan.

“Adalah tidak logik dan tidak berperikemanusiaan tuduhan dibuat sebegitu,” katanya.

Bung Mokhtar pula kesal dengan tuduhan yang mengaitkan beliau antara pemimpin UMNO yang didakwa terbabit dalam gerakan untuk menggulingkan kerajaan.

“Pada saya tuduhan sebegini kepada saya amat berat dan sungguh dikesali. Saya tidak pernah menjadi pengkhianat atau pembelot kepada parti yang saya perjuangkan,” katanya.

Menurutnya, kalau ada usaha daripada mana-mana pihak mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat, beliau adalah orang pertama yang menentangnya.

“Kerana pada saya kerajaan ini dipilih oleh rakyat. Kalau mahu dijatuhkan pun biarlah melalui pilihan raya umum dan bukan di jalan raya atau mana-mana cara yang tidak bermaruah,” katanya, lapor Bernama.

Sehubungan itu, Bung Moktar mahu pihak tidak bertanggungjawab menghentikan penggunaan namanya dalam perkara yang beliau sendiri tidak tahu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.