Apabila Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi tiba-tiba mendedahkan adanya usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui undi tidak percaya yang diketuai oleh seorang pemimpin UMNO, segera kedengaran banyak sosek-sosek menimpa dirinya kembali.
Ramai yang mengatakan, apa salahnya pertukaran kerajaan selain pilihanraya, jika bukan dengan kekerasan atau angkat senjata. Di Sabah, beberapa kali pernah berlaku dan di Perak ia baru saja berlaku pada 2009 lalu. Takkan Zahid tak tahu, kata mereka,
Sambil itu, rama juga yang mengingatkan Zahid agar tidak lupa bahawa pendedahannya mengenai pemimpin pembangkang yang didakwanya menjadi dalang tragedi Lahad Datu, sehingga sekarang masih tidak dijawabnya lagi.
Kata mereka, janganlah hendaklah pendedahan kali ini juga tiada jawapannya sampai akhirnya.
Begitu juga dakwaannya bahawa beliau mempunyai bukti Mohamad Sabu
terlibat dengan ajaran Syiah, sampai sekarang juga gagal ditunjukkannya
kebenaran itu kepada umum.
Memangnya Zahid, terutama sejak menjadi Menteri Dalam Negeri, suka
menunjukkan beliau mempunyai maklumat itu dan maklumat ini, tapi
akhirnya tidak lebih sekadar khabar yang dikutip daripada burung-burung
berterbangan saja.
Ada pula berkata, Zahid tidak sepatutnya cuba memesongkan isu kerana
beliau perlu lebih menumpukan perhatiannya untuk menjawab pertanyaan
rakyat mengenai syarikat adiknya yang terlibat dalam bidaan menguruskan
kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh melalui Kementerian Dalam Negeri
yang diterajuinya.
Tambahan lagi, jika dilihat daripada pendedahan Zahid itu, beliau
seperti mempunyai maklumat yang cukup lengkap mengenai usaha
menggulingkan kerajaan itu. Tapi, sebagaimana selalu, beliau suka
membiarkan orang berteka-teki, sama seperti orangramai mungkin
berteka-teki sampai mati mengenai dalang Lahad Datu dan bukti syiahnya
Mat Sabu.
Sehingga ini, dua pemimpin UMNO yang paling mungkin terlibat sebagaimana
dakwaan Zahid itu, sudah pun menafikan penglibatan mereka. Muhyiddin
Yassin mengatakan bodohlah jika beliau melakukannya kerana sudah
terlibat dalam pembinaan kerajaan ini sejak 40 tahun yang lalu.
Tengku Razaleigh Hamzah pula berkata, beliau masih bersama kepimpinan
Najib sambil menyindir, kerajaan hanya dapat digulingkan melalui
kekuatan tentera dan tidak ada mana-mana individu yang mampu
melakukannya dengan kekuatan biasa.
Begitulah bila Zahid sekali lagi cuba bikin gempar dalam negara.
Bukannya kenyataannya itu mahu disokong atau dipuji, tetapi lebih ramai
yang ragu-ragu dan skeptikal dengannya.
Sebabnya tidak lain ialah kerana Zahid dikenali sebagai pemimpin yang
suka baling "bom asap" saja selama ini. Kadang-kadang berita dari burung
berterbangan saja sudah dianggap seperti wahyu dari Tuhan.
Beliau sebenarnya membaling bom bukan untuk membunuh musuh tetapi agar
semua tumpuan tertuju kepada kepulan asap itu saja. Apa gerakannya di
sebalik asap berkepul-kepul itu hanya beliau saja mengetahuinya.
Sebab itu, jangan marah, kritik atau hentak Zahid dengan kenyataannya
kali ini. Sekarang beliau sudah jadi orang nombor dua dalam kerajaan,
tetapi kedudukannya masih belum selamat lagi untuk menjejak singgahsana
Seri Perdana.
Dalam UMNO, kerusi nombor dua masih lagi dipegang oleh Muhyiddin. Zahid
juga tidak boleh percaya sepenuhnya kepada Najib untuk memberi laluan
"smart tag" kepadanya kerana masih ada Hishammuddin Hussein, sepupu
Perdana Menteri sebagai pesaingnya.
Selain itu, di luar UMNO dan melalui tekanan Tun Mahathir, lebih banyak
perancangan yang sukar dijangka untuk mengenepikan Najib daripada
kedudukannya.
Maka, tidak mustahil lebih banyak lagi "bom asap" akan diletupkan Zahid selepas ini.
Tujuan Zahid membaling "bom asap" mengenai wujudnya usaha menggulingkan
kerajaan ini jika dihalusi disebabkan beberapa faktor. Antaranya, beliau
ingin menyampaikan mesej bahawa kerajaan pimpinan Najib sekarang ini
teramat lemah dan boleh ditukar bila-bila masa saja melalui undi tidak
percaya di Parlimen.
Dengan itu, Najib akan meletakkan lebih pergantungan kepadanya sebagai
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk memantau serta
mengekang gerakan tersebut. Zahid secara tidak langsung memberitahu
kedudukan kerajaan yang lemah itu adalah disebabkan isu-isu yang
membeliti Najib sendiri.
Sementara kasih sayang Najib diharapkan lebih tertumpah kepadanya
melalui pendedahan itu, Zahid dalam masa yang sama juga dapat
mengukuhkan lagi kedudukannya melalui kelam kabutnya orangramai
disebabkan "asap" itu.
Zahid bukan saja anak didik Anwar Ibrahim, tetapi cara gaya
berpolitiknya juga tidak banyak berbeza dengan bekas Ketua Pembangkang
itu. Bagaimana beliau mengumpul dan menjaga kekuatan sokongannya dalam
UMNO adalah sama seperti Anwar dahulu. Jika Anwar suka pegang janggut
orang bila bertemu kenalan lamanya, selain pegang janggut, Zahid pula
kerap "cucuk perut" untuk menunjukkan keakrabannya.
Selain itu, tindakan Zahid mendedahkan wujudnya usaha menggulingkan
kerajaan ini juga bertujuan menyindir Najib dan mengingatkannya tentang
"karma" yang pasti menimpa berikutan Najiblah yang mengetuai gerakan
menggulingkan kerajaan Perak pimpinan Nizar Jamaluddin pada 2009 dahulu.
Dengan kata lain, kalau ikut lenggok cakap orang Bagan Datoh, maksudnya
ialah "dulu kau gulingkan orang, kali ini tunggulah kau kena guling
pulak."
Zahid hakikatnya tahu menukar kerajaan melalui undi tidak percaya di
Parlimen adalah "halal" dan dibenarkan oleh perlembagaan. Tetapi di
Perak dahulu, usul tidak percaya itu tidak dibawa pun ke sidang DUN,
hanya dipersembahkan kepada Istana Perak saja.
Sambil mengingatkan itu, Zahid juga sebenarnya ingin menakut-nakutkan
Najib akan ketentuan Tuhan yang selalu "bayar cash" semua dosa dan
kecurangan di dunia ini lagi.
Lebih-lebih lagi Zahid juga tahu Najib turut menghadiri Malam Doa Untuk Malaysia di Dataran Merdeka pada malam tadi.
Untung-untung Najib jadi takut dan terganggu fikirannya, tambahan lagi
beban 1MDB dan isu RM2,600 juta jauh lebih berat lagi bahananya di sisi
Tuhan, lalu mungkin sedia menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepadanya.
Jika ini tidak berjaya menggugat Najib, tunggulah "bom asap" seterusnya lagi daripada Zahid. (SH 16/08/2015)
KHL
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.