Followers

Sunday, August 23, 2015

Hadi minta wakil rakyat PAS sertai Amanah kosongkan kerusi OLEH LOOI SUE-CHERN



Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama penyokong mengibar bendera parti pada perhimpunan PAS Tolak BN di Kota Sarang Semut, Kedah, petang tadi. 

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama penyokong mengibar bendera parti pada perhimpunan PAS Tolak BN di Kota Sarang Semut, Kedah, petang tadi. 

Wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya umum pada 2013 atas tiket PAS perlu mengosongkan kerusi jika mereka menyertai parti baru yang dirancang kumpulan serpihan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, mereka yang menyertai Parti Amanah Rakyat, yang dijangka dilancarkan pada Hari Merdeka, perlu meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerana melanggar sumpah bai'ah kepada parti Islam itu.

"Terpulang kepada maruah mereka. Mereka membuat sumpah bai'ah sebagai wakil rakyat PAS.

"Mereka mengangkat sumpah, berjanji. Jadi, mereka sepatutnya meletak jawatan dan kosongkan kerusi," katanya kepada media pada perhimpunan PAS Tolak BN di Kota Sarang Semut, Kedah petang ini.

Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai parti baru yang dirancang GHB, yang diketuai pemimpin PAS progresif yang disingkirkan pada pemilihan parti Jun lalu.

Amanah juga bersedia menggantikan PAS, yang kini dikuasai puak ulama diketuai Hadi, dalam pakatan pembangkang yang baharu dengan DAP dan PKR.

Menurut perlembagaan PAS, ahli parti yang menyertai parti politik lain secara automatik akan hilang keahlian mereka.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin bahagian PAS di Selangor dan Melaka sudah mengumumkan peletakan jawatan mereka apabila menyertai GHB.

Hadi berkata beliau tidak melihatnya sebagai satu cabaran besar kepada PAS.

"PAS pernah melalui cabaran lebih teruk sebelum ini. Pada 1980-an, presiden sendiri tinggalkan parti. Kira-kira 10 orang pemimpin pusat keluar parti.

"PAS tinggal seorang saja ahli Parlimen, arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kita lawan balik dan menang Kelantan pada 1990.

"Itu lagi mencabar daripada sekarang. Kita boleh bangkit semula. Apa yang menarik sekarang ialah, anak muda mula datang kepada PAS," katanya.

Hadi juga menafikan cakap-cakap yang banyak badan bukan kerajaan (NGO) Islam menyertai GHB.

"Sebahagian besar NGO Islam bersama kami. Ada kenyataan media dibuat mengenainya," katanya.

Mengulas kritikan yang PAS kini tidak progresif dan mundur, Hadi berkata, parti itu tidak pernah mengubah dasar dan matlamatnya.

"Kita bukan parti kampung. Kita bukan hanya ada tokoh agama, kita juga ada profesional. Bilangannya semakin ramai.

"Pada muktamar baru-baru ini, kita lihat barisan kepimpinan PAS Pusat yang baharu terdiri daripada ustaz, pensyarah, peguam dan lain-lain.

"Kita ada ramai orang seperti ini dibandingkan sebelum ini. Kami juga terima permohonan keahlian baharu. Setakat ini kami terima 9,000 tetapi hanya sempat memproses kira-kira 6,000. 


Banyak lagi akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.