Followers

Saturday, August 8, 2015

Cabaran Bersih 4 anjur perhimpunan 34 jam tanpa henti, desak Najib berundur OLEH JAMILAH KAMARUDIN


Pengerusi Bersih 4 Maria Chin Abdullah bercakap kepada media di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor, hari ini, berhubung himpunan 34 jam pada 39 Ogos ini mendesak perdana menteri letak jawatan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 7 Ogos, 2015.

Pengerusi Bersih 4 Maria Chin Abdullah bercakap kepada media di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor, hari ini, berhubung himpunan 34 jam pada 39 Ogos ini mendesak perdana menteri letak jawatan.

Pengerusi Bersih 4 Maria Chin Abdullah bercakap kepada media di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor, hari ini, berhubung himpunan 34 jam pada 39 Ogos ini mendesak perdana menteri letak jawatan.

Sejarah Malaysia menunjukkan himpunan jalan raya tidak dapat menjatuhkan seseorang pemimpin kerajaan dengan mudah, namun Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyahut cabaran itu dengan pertama kali menganjurkan perhimpunan 34 jam tanpa henti mendesak perubahan sistem pentadbiran negara yang semakin korup di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Bersih 4 Maria Chin Abdullah berkata, perhimpunan itu akan bermula pada 2 petang 29 Ogos dan berakhir 11.59 malam 30 Ogos ini, bertempat di beberapa lokasi utama di Kuala Lumpur.

Ia sebagai mesej rakyat kepada perdana menteri mengingatkan pentadbirannya yang penuh dengan penyelewengan dan rasuah perlu berakhir.

"Himpunan 2 hari berterusan sehingga malam lebih mencabar. Kali ini suara kami perlu didengar," katanya dalam temubual dengan The Malaysian Insider.

"Kita bercakap tentang perubahan (sistem) kerana walaupun Najib meletakkan jawatan esok dan ada pemimpin lain yang menggantikannya, tidak kira Barisan Nasional (BN) atau pembangkang, tiada jaminan perubahan akan berlaku.

"Kita akan selamanya ditindas. Media, kebebasan pilihan raya, penjenayah sengaja dibiarkan bebas. Jika kerajaan baharu dibentuk, tuntutan kami masih sama jika sistem itu masih tidak berubah," kata Maria.

Beliau berkata, perhimpunan itu akan diadakan bagi menyampaikan kepada mereka yang memegang kuasa, rakyat sebenarnya mahukan perubahan.

"Kami mahukan perubahan sistem yang boleh membawa keluar negara ini daripada krisis politik dan ekonomi yang semakin teruk," katanya.

Masih bertemakan warna kuning, Maria berkata, peserta kali ini akan bermalam di jalanan kerana pelbagai acara akan dipenuhi sepanjang 2 hari tanpa henti oleh pelbagai kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan aktivis.

Beliau menasihati peserta supaya membawa beg tidur (sleeping bag), air secukupnya dan berharap himpunan itu dapat bertahan tanpa ada sebarang gangguan daripada ejen provokasi atau polis.

"Sudah tentu ini cabaran kali pertama Bersih menganjurkan perhimpunan sebegini. Namun saya rasa rakyat mampu bertahan dan ramai yang akan menyokong kami berhimpun dari Sabtu sehingga 11.59 malam Ahad, kemudian baru kami akan bersurai," katanya yang menjangkakan kehadiran kira-kira 100,000 peserta.

Katanya, dalam himpunan kali ini peserta tidak akan diarah berjalan menuju ke lokasi akhir pentas utama sebaliknya ia akan berterusan di beberapa kawasan yang mempunyai aktiviti berlainan, antaranya kebudayaan, puisi, muzikal dan pidato awam.

"Himpunan yang lalu kita terpaksa menunggu orang ramai sampai ke pentas utama, sedikit kelam-kabut dan mesej yang cuba kami sampaikan tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

"Jadi kami akan buat di beberapa kawasan, lebih ramai orang yang akan berpeluang untuk bersuara, mesej akan disebarkan dengan lebih berkesan dan kekeliruan dapat dikurangkan.

"Sekurangnya-kurangnya jika ada tekanan pihak berkuasa supaya bersurai awal, mesej masih dapat disampaikan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, lokasi dan mobilisasi setakat ini masih belum diputuskan oleh jawatankuasa dan hanya akan diumumkan semasa pelancaran gerakan itu pada minggu depan.

Katanya, Bersih juga bersedia dan tidak menolak kemungkinan usaha polis menggagalkan himpunan itu menggunakan taktik undang-undang termasuk menangkap peserta, pemimpin dan menimbulkan kebimbangan orang awam.

Tetapi katanya, rakyat Malaysia kini sudah matang dan akan tetap turun berhimpun walaupun berlaku tangkapan dan amaran pihak berkuasa.

"Kami jangkakan himpunan ini akan bertahan dalam tempoh agak lama kerana mahu rakyat benar-benar faham, walaupun ia tidak akan membawa perubahan serta-merta, perjuangan menuntut perubahan sistem adalah satu perjuangan yang panjang demi masa depan negara," katanya yang mengharapkan kerjasama polis membenarkan mereka berhimpun.

Maria berkata, selain Kuala Lumpur, perhimpunan berlangsung serentak di beberapa bandar termasuk Kuching dan Kota Kinabalu, termasuk Pulau Pinang, Pahang, Johor serta lebih 20 bandar di luar negara.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.