Followers

Wednesday, July 29, 2015

[TERKINI] Najib Tersilap Langkah Pecat Muhyiddin, Bakal Terima "Hukuman Berat" Dari Rakyat...


Sokongan untuk Muhyiddin melimpah ruah di Facebook

Rakyat Malaysia menzahirkan sokongan masing-masing kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman Facebook peribadinya hari ini, tidak lama selepas beliau memuat naik satu kenyataan, respons kepada penyingkirannya sebagai timbalan perdana menteri.


Kenyataan yang disiarkan 3 jam lalu, setakat ini menerima Like daripada lebih 131,000 orang (162,509 setakan pukul 10:45 pm) dan dikongsi lebih 31,000 kali.

Ramai yang melahirkan sokongan kepada Muhyiddin dan ada yang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menggugurkan timbalannya dan sesetengahnya menasihatkan bekas timbalan perdana menteri itu supaya melawan Najib dalam pemilihan Umno akan datang.

Najib adalah presiden parti Melayu itu sementara Muhyiddin timbalannya.

Azizi Hashim dalam komennya menenangkan Muhyiddin, memberitahunya beliau mendapat sokongan ramai yang yakin terhadapnya.

“Anda tidak berseorangan! Persidangan Agong Umno ada TSMY.... kasi lawan jawatan Presiden," tulisnya menggunakan huruf awalan nama Muhyiddin.

Pengguna Facebook dikenali sebagai Ash Rule dalam komennya berkata: "Baik xde jawatan dari xde maruah.”

Sementara seorang lagi dengan nama Keyrol Xtuned menasihatkan Muhyiddin supaya bersabar.

"Bersabarlah TSMY.. Sesungguhnya Allah akan memakbulkan doa umat2Nya yg teraniaya.. 1 Malaysia dah tahu siapa yg salah siapa yg benar.. bertabahlah Tan Sri.”

Baharinshah Borhan pula menggalakkan bekas timbalan perdana menteri itu meneruskan perjuangannya dengan menulis: "Teruskan perjuangan TSMY.. sy akan berdoa yg terbaik utk Tan Sri” sementara Mohd Irfan berkata, rakyat Malaysia ada kuasa untuk mengundi keluar Najib pada pilihan raya umum akan datang yang harus diadakan selewat-lewatnya pada 2018.

"Najib ada kuasa singkirkan menteri menteri yang lain, tapi kita yang rakyat ni ada kuasa untuk singkirkan Najib pada PRU akan datang nanti. Insyallah."

Iqbal Zharif menulis: "Kami nak PM baru, bukan TPM baru. Kami rakyat Malaysia sentiasa pada pihak yang benar, kami bersama Tan Sri!"

Iman Jay menulis walaupun Muhyiddin hilang jawatannya, tetapi ramai rakyat Malaysia yang menghormatinya.

“Hari ini Tan Sri hilang jawatan tapi Tan Sri tidak pernah hilang maruah dan rasa hormat rakyat seluruh Malaysia," katanya. -TMI


Netizen marah Muhyiddin digugurkan

Sebaik sahaja Tan Sri Muhyiddin Yassin diumumkan gugur dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, kebanyakan pengguna media sosial mula mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di laman sosial Facebook, rata-rata netizen mula melahirkan rasa tidak puas hati dan berpendapat bahawa Muhyiddin patut dikekalkan untuk terus mendukung barisan kepimpinan kerajaan.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Muhammad Izzudin Al Qassam melahirkan rasa hairan ke atas tindakan Najib itu.

“Najib, kenapa pecat Muhyiddin daripada jawatan TPM? Pelik la,” tulisnya di ruangan komen di akaun rasmi milik Perdana Menteri.

Seorang lagi pengguna Facebook dengan nama Jessica Lee turut melahirkan persoalan yang sama terhadap tindakan Najib.

“Why you did this to Muhyiddin Yassin (Kenapa buat begini kepada Muhyiddin Yassin)?” katanya seperti yang dipetik menerusi ruangan komen tersebut.

Mohd Ariff Azlan, seorang lagi netizen pula berpendapat bahawa rata-rata yang meninggalkan komen di akaun Najib tidak bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri.

“Komen-komen yang terdapat di sini menunjukkan kami tidak memerlukan kamu lagi. Jika kamu fikir dengan mengubah Kabinet, kamu akan selamat, tunggulah nanti rakyat akan bangkit dan tukar kamu dan pasukan kamu,” katanya.

Sehingga berita ini ditulis, laman akaun Facebook rasmi Najib masih menerima persoalan daripada rakyat Malaysia yang rata-ratanya ingin tahu punca sebenar Muhyiddin digugurkan.



Penyokong Muhyiddin lepas geram di Facebook Najib

Laman Facebook rasmi Perdana Menteri Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi sasaran kemarahan yang dipercayai dibuat penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka yang marah dengan keputusan Najib menggugurkan timbalannya menggunakan ruang komen di laman berkenaan untuk melepas geram.

Mereka berkongsi komen ‘****SUPPORT Muhyiddin Yassin’ yang diulang beberapa kali dalam satu komen selain diikuti beberapa ratus orang.

Turut dimasukkan doa rakyat untuk pemimpin yang zalim.

Komen tersebut dimasukkan sebaik Najib mengemaskini status, ‘Kenyataan Media YAB Perdana Menteri Mengenai Rombakan Kabinet”.

Malah status rakaman ucapan takziah kepada keluarga bekas Presiden Indian, Dr. APJ Abdul Kalam yang meninggal dunia juga diserang dengan komen yang sama. -FMT

Kenapa gugur Muhyiddin? Rakyat tanya Najib

Pengumuman rombakan barisan Kabinet yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggugurkan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menimbulkan tanda tanya rakyat meskipun ada yang menjangka perkara itu akan berlaku.

Sinar Online mendapatkan reaksi orang ramai sejurus pengumuman dibuat, hari ini.

Menurut Arman Putera Asmuni, 42, Najib perlu menyatakan alasan menggugurkan Muhyiddin kepada rakyat supaya rakyat dapat menerima keputusannya itu.

“Mudah sahaja. Kenapa (gugur Muhyiddin)? Jika dia (Najib) boleh jawab kenapa, kita boleh terimalah rasionalnya keperluan menukar timbalan perdana menteri. Sebab (Muhyiddin) tidak sakit atau masalah kesihatan dan tidak ada kes besar yang dilaporkan secara rasmi terhadapnya, jadi, soalan saya, kenapa?

“Yang lain-lain juga kenapa ditukar portfolio dan digugurkan? Jika beliau boleh tampil dan jelaskan ‘saya gugurkan pemimpin yang ini kerana alasan ini’, rakyat boleh terima,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Najib dalam sidang media secara langsung menjelaskan tindakan beliau menggantikan Muhyiddin itu sememangnya 'sukar' namun keputusan dibuat demi memperkuatkan lagi jemaah menteri sebelum menghadapi Pilihan Raya ke-14.

Namun, desas-desus menyebut pengguguran itu ada kaitan dengan kelantangan Timbalan Presiden Umno itu dalam mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun, Arman Putera dilihat tidak terkejut dengan keputusan itu dan sudah menjangkakan ia akan berlaku susulan beberapa tindakan Muhyiddin sebelum ini yang mengkritik 1MDB.

“Jangkaan itu ada. Saya tidak terkejut, cuma seperti saya kata tadi, mesti ada alasan kenapa gugurkan, kenapa ditukar?,” katanya.

Perkara sama turut disuarakan Vanishree Radha Krishna, 37, yang mengakui tidak terkejut langsung dengan rombakan itu dan sudah pun menjangkakan perkara itu.

Namun katanya, Najib tidak sepatutnya terus ‘menghapuskan’ Muhyiddin apabila pemimpin itu dilihat tidak memihak kepadanya dalam skandal 1MDB.

“Sepatutnya Muhyiddin daripada awal kena bela rakyat bukan hanya pada masa ini sahaja (melibatkan skandal 1MDB). Sebelum ini pun, ada banyak lagi isu lain tapi masih belum terlambat. Mungkin sekarang beliau dah sedar. Terlalu banyak isu timbul dia rasa makin lama rakyat Malaysia dianaktirikan.

“Mungkin suara hati dia merasakan ini semua tak betul dan dia mula bersuara. Sepatutnya beliau diberikan kebebasan, tak bolehlah terus ‘shut him off’. Apa yang Najib buat sekarang ini memang ‘very clear cut’,” katanya.

Vanishree juga kesal apabila isu perkauman dibangkitkan sejak kebelakangan ini yang didakwanya bagi menutup isu atau skandal yang didedahkan.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini banyak isu perkauman dibangkitkan tapi realitinya ketiga-tiga bangsa utama di negara ini tidak ada gaduh. Saya tak pernah gaduh dengan Melayu atau Cina malah saya tinggal di kawasan yang pelbagai kaum.

“Saya lihat kes-kes perkauman seperti diadakan. Kami sayang negara ini dan nak tinggal di sini dengan menyayangi kaum lain seperti adik-beradik. Boleh dikatakan ahli politik di negara ini... tapi bukan semua, tidak cintakan negara ini. Mereka ‘money minded’. Kalau betul mereka cintakan negara ini, mereka tidak akan rosakkan negara,” katanya.

Sementara, Ahmad Razif, 27 pula memilih untuk menyerahkan semua keputusan rombakan itu kepada pihak yang berkaitan dan menanti keputusan siasatan berhubung 1MDB yang sedang berjalan.

“Isu yang melibatkan 1MDB itu sepatutnya diselesaikan secara dalaman dan tidak didedahkan kepada umum sangat tapi memandangkan dunia sekarang yang menggunakan teknologi yang pelbagai, jadi, maklumat dapat lebih cepat.

“Perkara ini dalam siasatan lagi, saya pun tak tahu nak komen positif atau negatif. Saya serahkan semua kepada Kabinet. Kita tunggulah kata putus selepas siasatan selesai nanti,” katanya. -SH


ULASAN GB

Nampaknya Najib seperti tersilap langkah, langkah memecat Muhyiddin telah membangkitkan kemarahan rakyat.

Walaupun Najib menyatakan bahawa kabinet barunya akan meningkatkan keyakinan awam, namun hakikatnya tidak begitu. Lebih ramai yang mempertikaikan keputusannya memecal Muhyiddin dan tidak mustahil pula keputusannya itu akan menyebabkan backfire kepada Najib sendiri.

Muhyiddin mempunyai ramai penyokong terutama di peringkat akar umbi. Sebagai menteri pelajaran, Muhyiddin juga mempunyai penyokong teras dari kalangan kaum guru yang selama ini membentuk ramai perwakilan di dalam perhimpunan UMNO. Justeru itu tidak mustahil akan muncul satu "kebangkitan" mempertahankan Muhyiddin di dalam UMNO apatah lagi Najib yang terpalit dengan isu 1MDB sudah pasti akan diasak oleh ahli-ahli UMNO supaya melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Memang bukan merupakan satu rahsia lagi, langkah memecat Muhyiddin dan Gani Pail adalah untuk menyelamatkan diri beliau daripada terus disiasat berhubung salah guna kuasa berhubung skandal 1MDB.

Najib kelihatan sedang menggali kuburnya sendiri. Beliau tidak mungkin terlepas kerana demikianlah hukum kebenaran dan keadilan berjalan.

Malah sebelum ini GB menyatakan satu hari Najib dan Rosmah wajar ditangkap dan dipenjarakan. Petikan:

GB pernah meminta agar Najib dan Rosmah ditahan dan disiasat dan jika didapati benar Najib dan Rosmah bersalah menghabiskan wang rakyat seperti dilakukan oleh isteri Hosni Mubarak di Mesir, Imeda Marcos di Filipina, Najib dan Rosmah perlu dihukum penjara seperti yang telah dikenakan ke atas isteri Mubarak dan Marcos... Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan....


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.