Followers

Friday, July 10, 2015

Ramai Ulama PAS Setuju G18 Tubuhkan Parti Baru




Sebuah pertemuan antara G18, kumpulan yang tewas dalam pemilihan PAS lalu, akan mengadakan pertemuan dengan beberapa ulama 'progresif' dalam parti itu hari ini.

Golongan itu, yang dilihat tidak selesa dengan kepimpinan sedia ada dijadual berlangsung hari ini di Selangor.

Anggota parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa yang akan turut hadir ke pertemuan itu berkata, kumpulan ulama itu menyokong idea Harapan Baru untuk membentuk entiti baru sebelum menyertai DAP dan PKR.

“Kita akan keluarkan pendirian menyokong Islam progresif, dan Islam yang terbuka untuk semua,” kata Mujahid ketika ditemui di pusat khidmatnya di Parit Buntar semalam.

Muhajid bagaimanapun enggan menamakan ulama-ulama PAS itu.

“Parti baru ini akan lebih jelas selepas hari raya. Kita sekarang bertemu pelbagai kumpulan di belakang tabir.

“Kita juga bertemu orang ramai semasa acara berbuka puasa,” kata bekas anggota jawatankuasa pusat PAS itu.

Harapan Baru merancang sebuah perhimpunan besar bermula di Perlis pada hari raya ketiga nanti.

Mujahid juga berkata perhimpunan selanjutnya diadakan di Perak pada 26 Julai, sementara tarikh acara sama di Pulau Pinang belum dimuktamadkan.

“Perlis sebenarnya bukanlah tempat pertama. Kita sudah adakan perhimpunan di Johor bulan lalu walaupun ketika itu kami belum fikirkan tentang parti baru,” katanya.

Mujahid antara 18 pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan PAS Jun lalu akibat kemenangan sapu bersih kumpulan proulama dalam PAS.

Arus itu malah menumbangkan timbalan presiden PAS ketika itu Mohamad Sabu.

Oleh kerana Pakatan Rakyat sudah diisytiharkan tiada lagi oleh DAP, Harapan Baru mempertimbangkan membentuk parti yang mengambil peranan PAS dalam gabungan baru yang digelar “Pakatan 2.0”.

Mujahid mendedahkan bahawa harapan Baru didukung kuat beberapa NGO Islam seperti Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMA), Pertubuhan IKRAM Malaysia, dan Angkatan Belia Muslim Malaysia (ABIM).


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.