Followers

Wednesday, July 1, 2015

Rakyat M'sia perlu bersedia hadapi cuaca lebih panas

 
 

 Rakyat Malaysia perlu bersedia menghadapi cuaca lebih panas berikutan monsun barat daya yang sedang melanda negara ini.

Ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Datuk Che Gayah Ismail berkata musim monsun itu akan membawa cuaca panas dan kering, manakala musim kemarau diramalkan berlanjutan hingga September.

"Hanya terdapat sedikit hujan, terutama pada awal pagi di kawasan pantai dan kawasan di selatan Selangor," katanya kepada Bernama semalam sambil menjelaskan bahawa keadaan cuaca mungkin bertambah buruk serta mengakibatkan jerebu sekiranya terdapat pembakaran terbuka secara berleluasa.

Pemerhatian rambang di ibunegara semalam mendapati keadaan agak berjerubu, tetapi, menurut Che Gayah, keadaan itu mungkin kerana tiada hujan sejak beberapa hari lepas.

Beliau berkata ia bukan berpunca daripada aktiviti gunung berapi di Gunung Sinabung di Sumatra Utara, walaupun abu gunung berapi menuju ke arah tengah Semenanjung Malaysia dengan ketinggiannya ketika melalui Semenanjung adalah lebih 6,000 kaki.

Berdasarkan imej terbaru satelit Pusat Meteorologi Khas ASEAN (AMSC), tiada tompok panas dikesan di Semenanjung Malaysia, tetapi terdapat masing-masing dua di Sabah dan Sarawak.

Semakan dengan Jabatan Alam Sekitar mendapati kesemua 52 kawasan yang dibuat pemantauan kualiti udara di seluruh negara semalam menunjukkan Indeks  Pencemaran Udara berada pada paras baik dan sederhana.

Sementara itu, presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Ashok Philip berkata musim panas sekarang boleh mengakibatkan penyahhidratan sekiranya manusia banyak berpeluh dan tidak minum cukup air.

Katanya, keadaaan itu boleh berlaku walaupun mereka tinggal di tempat teduh, manakala keadaan lebih teruk akan menimpa mereka yang terdedah secara langsung kepada cahaya matahari.

"Apabila kadar penyahhidratan meningkat, seseorang yang terjejas akan mula berasa lemah, pening dan tidak menentu atau keliru kerana tekanan darah mula menurun dan suhu tubuh pula meningkat.

"Untuk sentiasa berada dalam keadaan sejuk dan bagi mengelak daripada masalah berkaitan haba, minumlah banyak air," katanya kepada Bernama melalui emel semalam, sambil menjelaskan bahawa mereka yang mengalami penyahhidratan perlu berpindah ke tempat sejuk dan minum banyak air.

"Beringatlah agar tidak meninggalkan seseorang dengan bersendirian di dalam kereta yang tidak bergerak dengan penghawa dinginnya ditutup dan tingkapnya pula tidak dibuka - suhu boleh meningkat dengan mendadak kepada lebih 50 darjah Celsius akibat kesan rumah tanaman," katanya.

Dr Ashok juga menasihati mereka yang berpuasa supaya sering minum air pada waktu malam dan menambah pengambilan bendalir sebelum memulakan puasa.

Kata beliau, walaupun langkah itu mungkin menimbulkan keadaaan yang agak tidak selesa kerana boleh menyebabkan seseorang itu kerap ke tandas, tetapi itulah yang perlu dilakukan untuk terus berasa sejuk dan sihat.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.