Followers

Friday, July 3, 2015

Rafizi LAMBAT, semua dokumen pada SPRM, kata Annuar

 
  Rafizi LAMBAT, semua dokumen pada SPRM, kata AnnuarTan Sri Annuar Musa menyifatkan pendedahan badan pemantau National Oversight and Whistleblowers (NOW) berhubung kes Majlis Amanah Rakyat (Mara) terlebih bayar RM18 juta dalam pembelian hartanah ketiga di Melbourne, sudah terlambat.

Pengerusi Mara itu berkata, apa yang didedahkan badan bukan kerajaan (NGO) yang dipimpin Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli itu sudah mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan semua dokumen berkaitan sudah diserahkan.

"Sebab itu saya kata mereka terlewat, kita (bertindak) lebih dahulu daripada mereka.

"Kita tak ada niat pun nak sembunyikan penyelewengan jika betul-betul ada kes,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.

Annuar berkata SPRM bukan sahaja menerima dokumen berkaitan jual beli hartanah oleh Mara Inc, anak syarikat Mara di Australia, malah dokumen yang melibatkan aset di England.

Katanya, kes itu serius kerana bukan sahaja melibatkan wang ringgit tetapi masa depan orang yang dikaitkan.

“Saya tidak sembunyikan apa-apa. Kalau ada maklumat, kita boleh (bagi), tapi bukan dedahkan begitu saja.

“Kalau salah (pendedahan itu) boleh datangkan keburukan pada masa akan datang dan pendakwaan boleh dibuat oleh pihak yang dituduh," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga menggesa orang ramai menunggu hasil siasatan SPRM dan mengelak maklumat dari sumber yang meragukan.

“Kita tunggu siasatan, tidak boleh dahului SPRM. Maklumat 'lebihan' yang digunakan itu boleh mengelirukan,” katanya kepada akhbar itu.

Semalam, Pengarah NOW, Akmal Nasir berkata Mara setakat ini terlebih bayar sekurang-kurangnya RM66 juta bagi pembelian hartanah di Australia.

Katanya, Mara Inc membayar A$22 juta hanya beberapa bulan selepas pembeli yang tidak dinamakan membeli hartanah di 51 Queen Street itu, pada harga A$16.65 juta.

Ia melibatkan perbezaan harga RM18 juta, selain RM14 juta yang Mara didakwa juga terlebih bayar dalam pembelian The Dudley House, dan hampir RM30 juta untuk hartanah di 333 Exhibition Street, katanya.

Akhbar Australia The Age sebelum ini mendakwa perbezaan harga dalam pembelian Dudley itu diambil sebagai wang sogokan oleh beberapa pegawai kanan Mara.

Pembelian hartanah Queen Street itu melibatkan kaedah yang sama dengan pembelian Dudley House dan Exhibition Street, iaitu harga yang dibayar Mara Inc jauh lebih tinggi daripada harga pasaran, kata Akmal. –TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.