Pendedahan itu juga menyebabkan Najib berada dilema kerana rakyat tidak mempercayainya serta menolak kepimpinannya.
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, pendedahan itu telah menyebabkan Perdana Menteri berada dalam dilema.
Katanya, jika Najib berundur, ia mengesahkan tuduhan dilemparkan kepadanya dan sebaliknya jika tidak berundur, sudah jelas keadaan tidak lagi memihaknya.
Zainuddin bagaimanapun berkata, apa juga yang dilakukan oleh Najib tidak lagi akan dapat memulihkan imejnya.
“Jika kehendak rakyat dan Allah berlaku maka inilah pertama kali seorang Perdana Menteri Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam jatuh secara yang paling tidak terhormat.Tentunya sekaligus melibatkan maruah UMNO.
“UMNO telahpun kehilangan kepercayaan dari orang Cina dan kepercayaan dari orang Melayu sedang terhakis dengan parahnya.
“Najib sebagai pemimpin besar. Mereka (UMNO) berada dalam keadaan cedera parah. Skandal kewangan yang berlaku menyebabkan mereka (UMNO) membuat konklusi mudah untuk menolak ‘sahlah cerita selama ini UMNO parti rasuah,” katanya dalam entri terbarunya zamkata.blogspot.com.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia itu berkata, tindakan mahkamah yang diambil oleh Perdana Menteri tidak lagi boleh menyelamat dan membersihkan dirinya tetapi hanya sekadar mampu dapat memanjangkan kuasanya buat sementara waktu.
“Sekarang hanya terserah kepada para pemimpin UMNO untuk memutuskan sama ada untuk membiarkan keadaan ini terus berlaku sehingga berlaku keadaan yang lebih buruk dan lebih memalukan.
“Mereka mesti membuat pilihan yang bijak dan keputusan tegas berani sama ada untuk menyelamatkan Najib atau untuk menyelamatkan UMNO sekalipun terpaksa mengorbankan Najib.
“Jika UMNO disokong oleh orang-orang menjiwai perasaan rakyat maka mereka akan dapat membuat keputusan yang tepat dalam keadaan yang runcing,” katanya.
Menurut Zainuddin, orang Melayu kini tidak mempunyai tempat kuat untuk bergantung kerana Pas juga sedang runtuh manakala UMNO berada pada taraf moral yang cukup rendah.
“Nafas terakhir UMNO sekarang berada di tangan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri sebelum rakyat mencabutnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.