Followers

Tuesday, July 21, 2015

Pendedahan tentang Rosmah punca laman web Sarawak Report disekat? - FMT Reporters

 
Shahbudin_rosmah_skmm_600

Andaian itu dibuat kerana pendedahan terakhir oleh Sarawak Report bukan berkaitan 1MDB atau Perdana Menteri tetapi mengenai Datin Seri Rosmah Mansor.

PETALING JAYA: Pendedahan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa telah mendepositkan wang berjumlah RM2 juta ke dalam akaun peribadinya melalui seorang pembantu mungkin punca akses laman web Sarawak Report disekat oleh kerajaan Malaysia.

Andaian itu dibuat oleh bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin menerusi entri terbaru diblognya, shahbudindotcom.blogspot.com.

Ini kerana katanya, pendedahan terakhir Sarawak Report mengenai negara ini bukanlah berkaitan 1MDB atau Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi mengenai isteri Perdana Menteri.

Katanya, selepas pendedahan itu, Rosmah menerusi peguamnya dari firma guaman Norhairan Mohd Nor mahukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bertindak terhadap Sarawak Report dibawah Akta SKMM 1988 ( Akta 588 ).

“Nah…sekarang jelas bahawa dengan hanya sekali laporan mengenai Rosmah saja, itu pun bukannya pendedahan tidak benar atau fitnah, tindakan terus diambil terhadap Sarawak Report sedangkan selama berbulan-bulan dan pelbagai pendedahan mengenai Najib dan 1MDB, langsung tiada apa-apa bunyi pun daripada SKMM.

“Meskipun kerajaan boleh menafikan tindakan terhadap Sarawak Report ini ada kaitan dengan gesaan Rosmah yang mahukan SKMM segera bertindak, namun itulah persepsi yang sedang berkembangbiak dalam pemikiran ramai ketika ini,” tulisnya.

Shahbudin berkata, kerajaan sepatutnya sudah lama mengambil tindakan menyekat akses laman itu jika benar laporan dan pendedahan Sarawak Report mengganggu kestabilan negara.

Ini kerana, pendedahan Sarawak Report mengenai 1MDB dan kaitannya dengan Najib juga bukanlah perkara baru, sebaliknya sudah dilakukan sejak berbulan-bulan sebelum ini, katanya.

Shahbudin berkata, ramai juga yang menyifatkan tindakan menyekat Sarawak Report ini sebagai langkah terdesak kerajaan pimpinan Najib untuk mengelak rakyat mendapat maklumat yang benar dan rencam daripada pelbagai sumber.

“Dengan tindakan menyekat ini, kerajaan pimpinan Najib yang selalu melaungkan keterbukaan dan merendah diri dengan mengatakan “era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir” ternyata hanya mainan di bibir untuk memukau sokongan rakyat terhadapnya.

“Najib seolah-olah sedang membawa kerajaan di era langit terbuka ini berundur ke belakang dan hanya mahukan mereka mempercayai maklumat daripada mereka saja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.