Followers

Saturday, July 11, 2015

PAC akan panggil Jho Low


PAC akan panggil Jho LowJawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, berdasarkan laporan interim Ketua Audit Negara mengenai syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, keputusan memangguil Jho Low itu berdasarkan kapasiti ahli perniagaan itu sebagai lembaga penasihat Terengganu Investment Authority (TIA).

"Selepas kita mendengar taklimat beliau mengenai pelaburan 1MDB yang baru pagi ini, kita buat keputusan memanggil Jho Low atas kapasiti sebagai penasihat TIA yang ditubuhkan pada 2009 dan kemudiannya diambil alih Putrajaya tahun sama.

"Kedudukan rasmi Jho Low adalah sebagai penasihat kepada pengerusi lembaga penasihat yang disahkan dalam laporan Ketua Audit Negara," katanya pada sidang media selepas sesi taklimat laporan interim Ketua Audit Negara mengenai 1MDB di Parlimen.

Jazlan berkata, tujuan PAC untuk memanggil Jho Low kerana mahu ahli perniagaan itu menjelaskan beberapa isu berkaitan 1MDB namun tidak menjelaskan perkara tersebut.

Sementara itu, ditanya adakah PAC dapat menjamin kehadiran ahli perniagaan itu, Jazlan berkata ia terpulang kepada Jho Low.

Jawapan yang sama juga diberikan Jazlan berkenaan kemungkinan PAC mengambil tindakan undang-undang sekiranya Jho Low enggan hadir.

"Kita tidak mahu sampai ke peringkat itu tetapi ia terpulang kepadanya (Jho Low)," kata beliau tanpa memaklumkan tarikh PAC akan memanggil Jho Low.

Kata Jazlan, buat masa ini kepentingan PAC ialah menyelesaikan pendengaran bekas dan ketua pengarah eksekutif 1MDB termasuk saksi baharu serta firma audit  syarikat tersebut.

Pada masa sama, beliau berkata hasil pembentangan Ketua Audit Negara membangkitkan beberapa persoalan baharu yang memerlukan saksi lama dan baharu dipanggil semula pada Ogos dan September.


Antaranya ketua pegawai pelaburan yang bertanggungjawab mengenai 1MDB Vincent Koh, Penasihat Undang-undang Pelaburan Ivan Chen dan Pengarah Eksekutif Terence Geh.

“PAC juga akan memanggil anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Investment Holdings Ltd pada 4 Ogos ini, begitu juga, Datuk Shahrul Helmi, Setiausaha 1MDB Jasmine Loo termasuk Pengarah Urusan Brazen Sky Azmi Tahir,” ujar beliau lagi.

Beliau turut memaklumkan, hasil laporan interim mendapati beban hutang meningkat 1MBD berpunca daripada pelaburan berdasarkan keterangan saksi yang terlibat dalam bidang itu.

Beliau berkata, ia punca mengapa saksi baharu dipanggil berdasarkan beberapa persoalan baharu yang timbul.

Selain itu, Jazlan juga berkata wujudnya percanggahan jawapan antara Ketua Audit Negara dan Ketua Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda KandaSamy

"Ketua Audit Negara memberitahu beliau tidak menerima dokumen 1MDB, bagaimanapun Arul Kanda maklumkan ia sudah diberi. Bagi pihak kita, sudah tentu lebih percayakan Ketua Audit Negara," katanya.

Malah beliau juga menafikan penambahan saksi baharu dan lama dalam siasatan PAC membuktikan krisis skandal kewangan membabitkan kerajaan yang kritikal.

"Kita tidak kata keadaan semakin teruk. Terpulang kepada persepsi umum menterjemahkannya. Kita hanya menjalankan tanggungjawab menjalankan siasatan secara adil dan setara," katanya. – TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.