Followers

Friday, July 17, 2015

Konspirasi menutup skandal 1MDB tidak akan berjaya – Rafizi FMT Reporters

 
rafizi

Dia mendakwa segala maklumat mengenai skandal itu telah jelas dan ia diperolehi hasil jawapan yang telah diberikan Menteri Kewangan di Parlimen.


PETALING JAYA: Konspirasi untuk menutup skandal 1MDB tidak akan berjaya kerana faktanya terlalu jelas, kata Rafizi Ramli.

Naib Presiden PKR berkata, dakwaan kononnya dia dan Tony Pua serta beberapa pemimpin pembangkang lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh berkomplot dengan Sarawak Report hanyalah cubaan untuk mengalih isu sebenar.

Katanya, dia tidak pernah kenal apatah lagi bekerjasama dengan bekas pekerja Sarawak Report, Lester Melanyi, yang didakwa telah membuat pengakuan kononnya pemimpin pembangkang menjadi dalang untuk memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya tidak pernah berhubung atau berbincang dengan Clare Rewscastle Brown, pengendali Sarawak Report mengenai 1MDB.

“Sepanjang kerjaya saya, saya hanya pernah bekerjasama dengan Sarawak Report dalam satu kes iaitu skandal pembalakan di Sabah yang melibatkan sogokan RM40 juta yang didakwa melibatkan seorang bernama Michael Chia dan pimpinan kanan Umno Sabah”, katanya dalam kenyataan media.

Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, jawapan-jawapan yang diberi Menteri Kewangan sendiri yang memerangkap Perdana Menteri dalam isu 1MDB apabila banyak maklumat itu bercanggah.

“Saya yakin konspirasi ini tidak akan berjaya kerana skandal 1MDB ini terlalu besar dan faktanya terlalu jelas untuk ditutup.

“Apakah selepas ini Datuk Rahman Dahlan (Pengarah Strategik BN) akan membuat satu lagi pendedahan kononnya saya juga mempunyai kuasa mengarahkan Asian Wall Street Journal (AWSJ) untuk menulis mengenai 1MDB?,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, tuduhan terhadap pemimpin pembangkang tidak boleh dipercayai kerana tiga individu yang membuat dakwaan iaitu Abdul Rahman, Ramesh Rao dan Lester Melanyi mempunyai kepentingan peribadi.


Katanya, Abdul Rahman selaku Menteri perlu membela Najib untuk kekal dalam Kabinet walaupun kalah pemilihan Ketua UMNO Kota Belud, Sabah, manakala Ramesh Rao pernah melobi untuk jawatan Senator menggantikan P. Waythamorth.

“Lester Melanyi adalah seorang bekas wartawan yang pernah menimbulkan kontroversi dan mengundang kemarahan umat Islam dalam tahun 2006 dahulu apabila sebagai editor, akhbarnya Sarawak Tribune menyiarkan kartun Rasulullah sebagai pengganas,” katanya.

Rafizi berkata, dia telah mengarahkan peguam-peguamnya meneliti dengan tujuan mengambil tindakan saman terhadap Ramesh Rao dan individu-individu lain dalam masa yang terdekat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.