Followers

Friday, July 24, 2015

Khalid Ibrahim gesa penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 dilakukan segera?

 

SHAH ALAM: Jika benar Pakatan Rakyat 2.0 mahu diwujudkan, ia perlu dilakukan segera agar tidak mengelirukan rakyat, tegas bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ujarnya, sikap dolak dalih bersabit perkara itu secara langsung akan menjejaskan pentadbiran di Selangor memandangkan negeri itu ditunjangi Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti PKR, PAS dan DAP. 

"Memandangkan ini merupakan inisiatif dalaman yang melibatkan PKR dan DAP, bukanlah prerogatif saya untuk memberi pendapat. 

"Walaubagaimanapun dalam konteks Selangor, sekiranya benar ura-ura penubuhan Pakatan Rakyat baharu, adalah lebih baik ianya diselesaikan secepat mungkin supaya kekeliruan, kegusaran dan haru-biru di kalangan penjawat awam boleh dihindarkan. 

"YAB Dato Menteri Besar perlu membuat keputusan tentang perkara ini secepat mungkin.
Ini adalah kerana kita tidak mahu percaturan politik sebegini mengganggu gugat kelicinan dan keberkesanan proses pentadbiran negeri," katanya dalam posting di Facebooknya, semalam. 

Penubuhan Pakatan Rakyat Baharu (PRB) dikatakan menjadi inisiatif terbaru gabungan pembangkang selepas DAP menguisytiharkan Pakatan Rakyat sudah 'tamat'. 

Bagaimanapun PAS menolak dakwaan itu dan menyifatkan Pakatan Rakyat masih wujud berikutan parti itu masih bersama-sama PKR - meneruskan tahaluf siayasi sedia ada walaupun tanpa DAP. PAS dan DAP kini tidak lagi menjalinkan hubungan politik selepas bertelagah perihal isu pelaksanaan hudud di Kelantan. 

Kedudukan PAS kini dalam Pakatan Rakyat agak goyah apabila wujud khabar angin bahawa parti baru yang diasaskan Gerakan Harapan Baru (GHB) bakal ditubuhkan selepas Hari Raya Aidilfitri. 

Parti baru itu dikatakan bakal disertai bekas pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan PAS 4 Jun lalu. Penubuhan parti baru itu disahkan bekas Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu.

Parti baru itu juga dikatakan bakal menggantikan PAS dalam Pakatan Rayat 2.0. Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam memberitahu perbincangan di antara DAP, PKR dan GHB masih dijalankan untuk mewujudkan satu pakatan pembangkang yang baru.


Posted & copy by RAKYAT MARHAEN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.