Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun menuntut Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli supaya memohon maaf kerana mendakwa beliau terlibat dalam pembelian hartanah Mara di Melbourne.
Khairul Azwan berkata beliau tidak terlibat dalam apa cara sekali pun dalam perkara itu.
Bercakap kepada pemberita di satu majlis di Kuala Lumpur hari ini, Khairul Azman berkata ia adalah fitnah dan beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika Rafizi tidak memohon maaf atau menghentikan pembohongan itu.
Rafizi mendakwa Khairul Azwan sebagai salah satu daripada mereka yang mempunyai peranan "di belakang tabir" berkaitan pembelian sebuah bangunan pejabagt oleh Mara Inc di 746 Swanston Street di Melbourne.
Hartanah ini adalah antara empat hartanah yang dibeli oleh Mara pada harga yang tinggi.
Dalam membuat dakwaan itu, menurut Rafizi, Khairul Azwan adalah pengerusi Biosis Group Bhd, di mana salah seorang pengarah juga berkhidmat dalam lembaga pengarah syarikat yang memegang hartanah itu.
Pengarah tersebut adalah salah seorang daripada dua orang pengarah yang berkhidmat di anak syarikat Mara Inc yang berpangkalan di Kepulauan Virgin British (BVI), walaupun dikatakan tiada berkaitan kepada MARA.
Pihak berkuasa Australia sedang menyiasat dakwaan akhbar Australia, The Age, bahawa terdapat sogokan terlibat dalam pembelian satu daripada hartanah itu, manakala Rafizi mendakwa berlaku salah laku dalam pembelian tiga lagi hartanah yang lain.
Ketika mempertahankan Khairul Azwan itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata adalah salah bagi Rafizi untuk menganggapnya sedemikian.
"Apa logik yang Rafizi pakai? Contohnya A kenal B, B buat satu kesalahan yang tidak ada kaitan dengan A langsung tetapi oleh kerana A kenal B, dia pun tiba-tiba salah," katanya ketika ditemui media di Majlis Berbuka Puasa Pemuda Barisan Nasional (BN) di ibunegara hari ini.
Malah, katanya mereka yang didakwa terlibat pun belum terbukti lagi.
"Jadi bagaimana dia boleh mengatakan orang lain terlibat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.