Followers

Wednesday, July 1, 2015

Kerajaan S'gor heret 8 bekas pembantu Khalid Ibrahim ke mahkamah ??

S'gor heret 8 bekas pembantu Khalid Ibrahim ke mahkamahSeorang bekas pembantu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan 7 lain berdepan saman bagi mengembalikan RM2.7 juta yang dibayar kepada mereka sebagai pampasan untuk diberhentikan sebaik sebelum bekas menteri besar Selangor itu meninggalkan jawatannya tahun lalu.

Peguam Shahir Razak yang mewakili Menteri Besar Incorporated (MBI) berkata MBI mengambil langkah itu selepas semua defendan gagal memenuhi permintaan anak guamnya.

"Saman itu difailkan bulan lalu atas arahan anak guam saya selepas semua defendan enggan memulangkan wang itu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Shahir berkata, MBI juga menuntut semua defendan membayar faedah 5% ke atas jumlah yang dituntut, pampasan kewangan lain dan kos jika keputusan mahkamah memihak kepada MBI.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mei atas alasan defendan tidak layak menerima pampasan itu.

Mengetuai senarai defendan ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin yang diwakili peguam Edmund Bon.

Tujuh yang lain ialah Rohani Talib, Arfa'eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd Talib, Rahimah Kamarudin, Dr Sulaiman Masri, Abdul Halim Mohamed Yusof dan Tuan Nazuri Tuan Ismail.
Shahir berkata, kes itu akan disebut di hadapan penolong pendaftar kanan pada 28 Julai bagi membolehkan semua pihak berkenaan mengambil tindakan lanjut.

Katanya, MBI bersedia menggugurkan tindakan itu jika defendan bersedia mengembalikan jumlah yang dituntut.

Pada Januari, Faekah menafikan terdapat salah laku dalam bayaran pampasan yang diterima mereka.
Faekah berkata, beliau menerima sepucuk surat daripada kerajaan negeri menuntutnya mengembalikan bayaran itu.

"Memandangkan isu ini tentang undang-undang, semua yang menerima wang itu di bawah Skim Pemisahan Bersama (MSS) akan mendapatkan peguam bagi meneliti langkah yang perlu," katanya menerusi kenyataan pada 6 Januari.

Faekah menafikan pembayaran menerusi MSS itu menyalahi undang-undang dan dibuat tanpa kelulusan.

Katanya, surat tuntutan itu juga gagal menyatakan dengan jelas prosedur dan peraturan kewangan yang dicabuli sewaktu pembayaran dibuat.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali pada 3 Januari mengarahkan semua bekas pembantu Khalid mengembalikan wang tersebut dalam masa 14 hari daripada notis bertulis MBI.

Azmin berkata, siasatan mendapati wujud pencabulan daripada segi prosedur dan peraturan kewangan apabila bayaran dibuat kepada mereka.

Laporan sebelum ini menyebut pampasan RM2.27 juta dan gaji sebanyak 3 bulan berjumlah RM376,000 dibayar kepada mereka.

Faekah didakwa menerima jumlah tertinggi sebanyak RM695,000, berdasarkan dokumen yang dilihat The Malaysian Insider.

Siasatan perbendaharaan negeri dalam satu laporan setebal 11 muka surat mendapati bayaran dibuat tidak mengikut prosedur.


Laporan yang diedarkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember lalu menyebut bayaran dibuat kepada pembantu Khalid yang turut berhenti kerja sewaktu beliau melepaskan jawatannya mencabuli terma dan syarat surat lantikan mereka.

Faekah berkata, beliau mengarahkan peguamnya meneliti semua sudut perundangan bagi melawan tuntutan itu serta menuntut ganti rugi atas pencabulan terma MSS dan malu yang dihadapinya daripada isu itu.

Peguam, Bon yang mewakilinya berkata mereka belum lagi memfailkan pembelaan.
"Anak guam saya akan melawan saman itu bersungguh-sungguh. Asas tuntutan MBI cacat.
"Kes ini kelihatan seperti cubaan memalukan defendan serta Khalid,” katanya.

Azmin berkata tindakan akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi notis.

Katanya, sebaik saja mereka memulangkan wang itu, MBI akan menyemak semula jumlah yang sepatutnya mereka terima.

Khalid bagaimanapun mempertahankan pembayaran itu yang menurutnya dibuat berdasarkan SKim Pemisahan Sukarela (VSS) dan jumlahnya juga kurang 2% daripada rizab tunai MBI sebanyak RM112 juta.

PKR memecat Khalid pada Ogos tahun lalu selepas beliau gagal menghadiri pendengaran jawatankuasa disiplin berhubung tuduhan berkaitan penstrukturan semula air Selangor, penyelesaian hutangnya dengan Bank Islam dan cadangan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara Expressway.

Ia bermula sewaktu perebutan jawatan menteri besar yang bermula awal tahun lalu apabila PKR mahukan beliau melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Krisis itu tamat apabila Sultan Selangor melantik Azmin yang juga timbalan presiden PKR sebagai menteri besar pada September. – TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.