Nama mangsa masih belum didedahkan walaupun 23 mayat telah dikenalpasti.
JAKARTA: Kanak-kanak berumur berusia lima tahun antara 113 penumpang yang terkorban dalam nahas pesawat Hercules milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang terhempas di Medan pada Selasa.
Kepala Staf (TNI) Angkatan Udara (AU)Marshal Agus Supriatna mengesahkan perkara itu.
Katanya,12 daripada yang terkorban adalah anggota tentera iaitu empat pegawai termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang manakala lapan lagi adalah juruteknik tentera.
“Jumlah semuanya 113 penumpang. Kalau yang selamat tak ada. Jenazah baru ditemukan 49 orang. Ini saya mau mengecek (periksa) ke Rumah Sakit Adam Malik,” katanya seperti yang dipetik oleh siaran televisyen berita Metro TV.
Agus juga berkata, setakat ini terdapat laporan 23 mayat telah dikenalpasti namun, nama mereka belum dapat diumumkan lagi.
Pesawat Hercules C-130 A1310 milik TNI AU terhempas di Jalan Letjen Jamin Ginting, Padang Bulan, Medan, Sumatera Utara setelah dua minit berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo, Kota Medan pada pukul 11.48 pagi waktu tempatan.
Pesawat yang sepatutnya menuju ke Pangkalan Udara Tanjung Pinang, Kepulauan Riau itu terhempas di atas rumah awam dan kedai termasuk sebuah pusat spa yang terkenal di kawasan itu.
Menurut saksi, pesawat itu meletup sebelum terhempas dan sebahagian badan pesawat menimpa beberapa buah bangunan rumah kedai termasuk bangunan bernama BS Okup iaitu sebuah pusat perubatan tradisional.
Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan dan dipercayai masih ramai mangsa orang awam yang terkorban akibat dihempap runtuhan bangunan atau badan pesawat itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.