Followers

Saturday, July 25, 2015

Dr. Asri Pertikai Bai'ah Hodoh PAS Jadikan Rumahtangga Sebagai Cagaran



Politik kepartian boleh menjadi begitu hodoh jika cagaran untuk kemenangan sesebuah kumpulan itu adalah rumahtangga.

Mufti Perlis, Datuk Seri Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, berpolitik sepatutnya dibangunkan untuk membina masyarakat dan negara yang lebih baik.

Dengan 'mainan' politik kepartian, kata bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia itu, seseorang isteri kononnya boleh tertalak tiga gara-gara tindakan si suami.

"Justeru, teraniayalah isteri dan anak-anak di rumah hanya kerana perbuatan si suami dalam parti," katanya.

Kenyataan umum itu dibuat Mohd Asri dipercayai mengulas polemik antara kumpulan dalam PAS ketika ini yang berselisih pendapat mengenai bai'ah dilafaz wakil rakyat parti berkenaan.

Sesetengah bai'ah itu dikatakan turut 'mencagarkan' isteri seseorang calon pilihan raya apabila ia dikaitkan dengan talak.

PAS dikatakan mewajibkan semua bakal calon melafazkan ikrar itu sebelum dinamakan dalam mana-mana pilihan raya.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ilmuan Malaysia (ILMU), Fathul Bari Jahaya turutmemberikan pandangan mengenai isu berkenaan.

PAS kini bergolak apabila kumpulan progresif - termasuk di kalangan wakil rakyatnya - sedang dalam usaha menubuhkan gerakan baru selepas mereka 'dikorbankan' dalam pemilihan parti awal Jun lalu.

Secara umum, kata Mohd Asri, beliau bersetuju dengan pandangan ulama silam, Syeikh Ibn Taimiyyah bahawa seseorang yang melafazkan taklik tanpa niat sebaliknya sekadar untuk meyakinkan atau menakut-nakutkan, talak tidak terjatuh apabila ikrar itu dilanggar.

Bagaimanapun jika taklik itu dilafazkan dengan disertakan hasrat mentalakkan isterinya jika sumpah dilanggar "kerana malu ataupun kecewa", maka talaknya jatuh.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.