Followers

Wednesday, July 1, 2015

DAP tiada masalah dengan Azmin Ali Faiz Zainudin


tony azmin

DAP dan PKR saling memahami situasi dan kedudukan yang mereka hadapi di Selangor berikutan kemelut politik.


SHAH ALAM: DAP tidak pernah mempertikaikan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor, kata Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.

Katanya, DAP tidak mempunyai masalah dengan Azmin malah menyokong Timbalan Presiden PKR itu.

“”Kami tidak mempunyai masalah dengan Azmin, tiada isu mengenai Azmin sebagai Menteri Besar,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Azmin di Bangunan SUK pada Selasa.

Selain Tony Pua, turut serta, Gorbind Singh Deo, Hannah dan Ean Yong manakala PKR dihadiri Ketua Wanita, Zuraida Kamarudin, N Surendran dan Dr Xavier Jayakumar.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, DAP dan PKR saling memahami situasi dan kedudukan yang mereka hadapi berikutan kemelut politik.

Katanya, kedua-dua pihak saling memberikan cadangan membina bagaimana untuk memastikan pentadbiran negeri Selangor berjalan lancar.

Bagaimanapun, Tony Pua berkata, pertemuan itu tidak membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan dan hubungan dengan Pas.

“Kami ada bincang mengenai Pas Selangor hari ini, tapi belum ada keputusan.

“Kita membincangkan mengenai kerajaan negeri bukan jawatan EXCO,” katanya sambil menambah perbincangan lanjut akan diadakan semula selepas sambutan Aidilfitri.

DAP dan Pas saling memutuskan hubungan menyebabkan Pakatan Rakyat telah berkubur dan bakal digantikan dengan pakatan pembangkang yang baru.

Kemelut itu menyebabkan Kerajaan Selangor terjejas kerana dikhuatiri EXCO Pas dan DAP tidak sehaluan dalam penetapan polisi kerana tidak lagi bersama.

DAP dan Pas memiliki kerusi paling banyak di Selangir iaitu 15 kerusi berbanding PKR 13 kerusi, UMNO 12 kerusi dan bebas satu kerusi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.