BNM perlu keluarkan kenyataan mengenai tuduhan 1MDB itu agar rakyat tidak keliru dan tidak panik
Gesaan itu dibuat oleh Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang merujuk kenyataan BNM sebelum ini.
Beliau berkata, penjelasan itu perlu ekoran pada masa ini orang ramai sangat percaya kepada perkara-perkara negatif yang tersebar.
“BNM sewajarnya mengeluarkan satu kenyataan segera untuk menjelaskan kedudukan sebenar ekonomi negara untuk mengawal kesan buruk dari kenyataan agensi kerajaan sendiri.
“Jika tidak ia menyebabkan rakyat menjadi panik,” katanya menerusi entri terbaru di laman blog zamkata.blogspot.com.
Zainuddin yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan berkata, sekiranya 1MDB mengharapkan rakyat menuding jari kepada Dr Mahathir ia adalah satu perhitungan yang salah.
“Tidakkah kenyataan 1MDB yang berunsur politik itu telah turut menyumbang kepada keadaan ini?
“Jika dakwaan kerosakan ekonomi itu dibuat oleh Dr Mahathir atau pembangkang tentu sukar untuk diterima tetapi apabila datang dari agensi penanaman modal kerajaan sendiri maka ia adalah pengesahan dan menyebabkan penerimaan negatif di kalangan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan 1MDB yang berbeza dengan beberapa kenyataan BNM serta kenyataan Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara(MPN) Prof. Datuk Dr, Noor Azlan Ghazali yang menafikan ekonomi Negara kini merudum.
“Kata Dr Azlan tindakan sesetengah pihak yang mendakwa ekonomi negara berada dalam keadaan kritikal dan jatuh merudum adalah tidak beretika dan boleh mendatangkan kebimbangan kepada orang ramai,” katanya memetik laporan akhbar Utusan Malaysia sebelum ini.
Justeru Zainuddin menggesa BNM perlu bersuara dan tidak boleh membiarkan kenyataan seperti 1MDB berterusan.
“Ini tentunya telah menjadi viral di seluruh negara hari ini,” ujarnya.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.