Followers

Sunday, July 5, 2015

Apakah Najib akan menerima nasib seperti Tunku Abdul Rahman? FMT Reporters


Zainuddin_najib_abdul-rahman_600

Bapa Kemerdekaan menerima tentangan secara diam sedangkan dengan Najib terpaksa menghadapinya secara terang-terangan

PETALING JAYA: Situasi yang dialami Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sama seperti yang pernah tempuh Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al Haj.

Bezanya, Bapa Kemerdekaan menerima tentangan secara diam daripada pihak keselamatan, pegawai tinggi kerajaan dan cerdik pandai yang meminta beliau berundur.

Keadaan itu berbeza dengan Najib di mana beliau terpaksa menghadapinya secara terang-terangan berikutan dasar dan perubahan yang dilakukannya sebaik menduduki tampuk sebagai Perdana Menteri Malaysia Keenam.

Dalam tulisannya, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkongsi senario sekarang dengan kemelut yang dilalui Tunku Abdul Rahman sehingga beliau terpaksa meletak jawatan.


“Langkah pemulihan yang dijalankannnya menerusi reformasi lebih mempamerkan liberalisme, tolak ansur,kompromi, dan sikap tidak apa, iaitu kriteria yang menyebabkan akhirnya Perdana Menteri Malaysia Pertama Tunku Abdul Rahman terpaksa mengundurkan diri dan memberikan laluan kepada Tun Abdul Razak bapa kepada Najib.

“Tunku sebagai seorang yang demokratik sanggup menerima realiti sekalipun pemimpin parti dan kerajaan di sekelilingnya masih kuat menyokongnya. Beliau menyingkirkan orang yang tidak disenanginya. Namun menciumi api sekam yang membara, ledakan sentimen Melayu kehilangan maruah dan kehilangan keyakinan, beliau akhirnya menyerah kalah,” tulisnya di zamkata.blogspot.com.

Sebagai perbandingan, Zainuddin atau nama penanya Zam mengaitkan apa yang dilakukan Najib pada masa sekarang mempunyai kesamaan dengan Tunku Abdul Rahman.

Tulisnya, kehilangan keyakinan terhadap Najib adalah akibat tidak ada konsistensinya dalam usaha untuk pemulihan kuasa selepas Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa dua pertiga.

Ulasnya, Presiden UMNO itu pada mulanya nampak gagah, garang dan berani dalam menerima kekalahan dengan mengecamnya sebagai Tsunami Cina tetapi kemudiannya membuktikan beliau tidak mempunyai ketegasan walaupun mempunyai kesedaran.

Beberapa dasar dan pembaharuan yang dilakukannya, masih gagal mendapat sokongan kaum Cina bahkan ia turut menyebabkan pengaruhnya di kalangan orang Melayu merosot.

“Selain dari penghapusan ISA yang ternyata gagal mendapat sokongan orang Cina,beliau mahu menghapuskan Akta Hasutan yang amat dibimbangi oleh pihak polis dan juga orang Melayu.

Jika difikirkan dengan waras tidak perlu ISA dihapuskan jika hendak digantikan dengan akta yang mempunyai kesan bangkangan yang sama .Ini hanya menampakan dasar yang flip flop..

“Kehilangan kredebiliti Najib bukanlah hanya kerana IMDB tetapi dari rangkaian berbagai fakta yang bertali arus dari penghapusan ISA ,percubaanya untuk menghapuskan Akta Hasutan, jawapan kepada penggunaan jet kerajaan yang tidak meyakinkan yang tidak membawanya pulang ketika bencana banjir besar di Kelantan, penapian keluarganya tentang harta pusaka, GST ,kelemahan dasar luar negara ,tolak ansur dengan Singapura dan sebagainya,” ulas Zam

Lebih buruk di bawah pentadbiran Najib strategi yang dilakukannya lebih banyak menampakan kelemahan daripada kebaikan.

Pengurusan maklumat yang lemah serta tidak menyeluruh, gagal menjawab soalan dengan tepat,menggunakan personaliti murah, tidak berintegriti yang dikenali umum dan dalam banyak hal yang menampakan tidak profesionalisme menyebabkan usaha untuk memperbaiki imej pimpinan dan mempromosikan imej kerajaan gagal.

Tambah Zam lagi, keadaan itu dibebankan lagi dengan pelbagai bencana yang melanda negara ini, ancaman keselamatan dan pembongkaran mayat Rohingya dan pemerdagangan manusia telah memalukan negara dan imej Najib sendiri.

“Ini semua petunjuk dari Allah kepada kepimpinan negara dan juga kepada rakyat jika kita mahu insaf dan sedar,” tulis Zam mengakhiri tulisannya dengan petikan ayat suci al Quran.


 
Nampaknya TEORI RAHMAN akan menjadi kenyataan. PM Najib akan menjadi PM Terakhir dari UMNO, kerana akan dikuburkan tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.