Followers

Wednesday, July 8, 2015

3 daripada 6 akaun yang dibeku milik Najib - sumber

 
KUALA LUMPUR: Tiga daripada enam akaun yang dibekukan adalah milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, lapor The Malaysian Insider.

Dua daripada akaun tersebut ialah daripada AmBank dan Affin Bank, kata sumber yang dipetik oleh portal tersebut.

Terdahulu, pasukan petugas pelbagai agensi yang menyiasat dakwaan penyaluran dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyebut bahawa enam akaun berkaitan telah dibekukan.

Akaun berkenaan dibekukan susulan laporan oleh Wall Street Journal (WSJ)yang mendakwa sejumlah RM2.6 bilion dana 1MDB telah disalurkan ke akaun peribadi Najib.


Kenyataan bersama itu ditandatangani Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Kenyataan bersama itu turut menyebut bahawa arahan pembekuan enam akaun berkenaan dikeluarkan pada 6 Julai.

“Kami juga telah mengumpul dokumen yang ada kaitan dengan 17 akaun daripada dua bank bagi membantu siasatan," menurut kenyataan itu lagi.

Dalam artikel yang terbitkan pada Jumaat, WSJ mendakwa dana 1MDB berjumlah AS$700 juta (kira-kira RM2.6 bilion) telah disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Najib dan 1MDB.

Beberapa pihak dalam pada itu menggesa Najib mengambil tindakan terhadap WSJ untuk membersihkan namanya dan mempertahankan integriti kerajaan.


- astroawani


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.